Thursday, January 16, 2014

1115) BERITA HARIAN 16/1/2014 TELITI KAEDAH NEGARA LAIN ATASI MASALAH





Headline: Teliti kaedah negara lain atasi masalah
Publication: BH
Date of publication: Jan 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Nazura Ngah; M Hifzuddin Ikhsan; Meor Ahmad Nasriin Rizal


Kuala Lumpur: Pengguna perlu diberi peluang seluas-luasnya menyalurkan idea dan pandangan mengenai kaedah terbaik bagi menangani peningkatan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Media sosial antara platform berkesan untuk mengumpul maklumat terbabit menerusi makmal yang diwujudkan selaras penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat.

Makmal itu juga wajar membabitkan penyertaan pengguna serta pihak berkepentingan lain termasuk ahli akademik, badan bukan kerajaan, agensi awam dan pihak industri.

Teliti mekanisme

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan juga wajar meneliti mekanisme diguna pakai negara lain yang berjaya mengurangkan beban rakyat dan memastikan mereka hidup selesa dengan jumlah pendapatan diperoleh.

"Masalah kos sara hidup meningkat dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya gaya hidup yang tidak setara dengan pendapatan, namun ia tidak bermakna kerajaan tidak boleh membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan mewujudkan pelbagai inisiatif," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, pula berkata makmal khas itu perlu disertai pegawai yang terbabit secara langsung dengan pelarasan barangan dan perkhidmatan kerana mereka ada maklumat lebih tepat berbanding pegawai atasan.

Beliau turut menyarankan mekanisme terbaik diwujudkan dalam jaringan maklumat antara kerajaan dan swasta, swasta dan swasta serta antara kementerian menerusi penubuhan pangkalan data selain fokus terhadap keperluan asas merangkumi makanan dan perkhidmatan awam.

Tanda keprihatinan

Sementara itu, kebanyakan pengguna yang ditemui semalam, menyokong penuh penubuhan jawatankuasa yang disifatkan tanda keprihatinan kerajaan terhadap beban terpaksa ditanggung rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pengurus restoran, Kelvin Lai, 30, berkata langkah itu permulaan penting bagi mengawal harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus mengambil tindakan ke atas peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.


Penjawat awam, Mohd Shahrul Afendi, 29, berkata kerajaan perlu mencari jalan supaya rakyat dapat menstabilkan perbelanjaan bulanan, manakala Rina Othman, 32, berpendapat rakyat harus berbelanja secara berhemah bagi memastikan pendapatan mampu menampung kenaikan kos sara hidup.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...