Saturday, January 11, 2014

1104) SINAR HARIAN 10/1/2014 KOS SARA HIDUP : Perlu dana tolong pengguna



SHAH ALAM - Kerajaan perlu memandang serius cadangan untuk memperkasakan persatuan pengguna bagi membantu rakyat terutamanya dalam isu mengurangkan beban kos sara hidup.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, untuk memperkasakan persatuan tersebut, kerajaan perlu menyediakan dana secara signifikan kepada NGO itu.

Menurutnya, dana diperlukan untuk melancarkan proses menyebarkan maklumat dan mendidik rakyat bermula dibangku sekolah.

"Ya, saya sokong cadangan itu, kerajaan perlu memandang serius perkara tersebut.

"Persatuan pengguna di Malaysia sangat miskin oleh itu kerajaan perlu menyediakan dana secara signifikan kepada persatuan tersebut untuk proses memberi maklumat yang berguna," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau juga menambah, kerajaan bersama sektor swasta perlu bekerjasama untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan boleh mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan mencuba kaedah baharu seperti memperkasakan persatuan pengguna dan koperasi di negara ini.

Menurut Prof Dr Amir Hussin Baharuddin, peranan dua badan itu mampu menjadi suara dan mempertahankan hak rakyat kepada kerajaan, sekali gus mengawal kenaikan harga barang.

Amir Hussin berkata, koperasi dan persatuan pengguna seperti di New York, Amerika Syarikat (AS), sangat kuat dan bergiat aktif dalam menyuarakan hak rakyat.

“Kenapa persatuan pengguna di negara ini senyap dan tidak lantang bersuara? Manakala, koperasi pula terabai. Terlampau banyak yang boleh dibuat, telah diabaikan, sedangkan badan ini mampu menjadi pencetus idea kepada kerajaan.

“Jika mereka gagal berperanan, kejutan ekonomi memberikan kesan buruk buat isi rumah. Justeru, kerajaan jangan membuat kejutan kenaikan harga barang,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca),  Muhammad Shaani Abdullah berkata, kekurangan dana adalah salah satu faktor yang memberi kesukaran kepada persatuan untuk bertindak menyampaikan maklumat dan membantu pengguna dengan baik.

Katanya, selain dana yang cukup daripada pihak kerajaan, pengguna juga perlu bekerjasama dengan persatuan untuk menekan peniaga yang menaikkan harga barang sekaligus kos sara hidup makin meningkat.

"...pengguna juga perlu bekerjasama dengan persatuan untuk bagi tekanan serta merta kepada peniaga yang sesuka hati naikkan harga barang.

"Kerjaan juga perlu bagi dana, supaya mudah kita nak lakukan tugas kita contohnya seperti Singapura, persatuan tersebut tak perlu fikir maslaah kewangan, mereka hanya menjalankan tugas untuk menyampaikan maklumat.


"Kita di Malaysia agak sukar membuat permohonan dana untuk melakukan program kepada rakyat," jelasnya

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...