Saturday, January 11, 2014

1107) UTUSAN MALAYSIA 11/1/2014 KAJI SUBSIDI MINYAK, TEPUNG JIKA PEDULI BEBAN RAKYAT - PPIM-




KUALA LUMPUR 10 Jan. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pemberian subsidi minyak dan tepung jika benar-benar mahu mengambil kira beban ditanggung oleh rakyat.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ketika ini langkah kerajaan mengurangkan pemberian subsidi minyak belum memberi kesan positif kepada golongan berpendapatan rendah.

"Walaupun kenaikan 20 sen harga minyak tahun lalu dilihat membebankan rakyat tetapi hakikatnya jika kerajaan mengambil langkah tepat dengan membuka (permohonan) subsidi kepada mereka yang berminat sahaja, matlamat pemberian subsidi itu boleh memenuhi keperluan golongan sasaran iaitu berpendapatan rendah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan melakukan kajian makmal secara mendalam sebelum mengambil keputusan menaikkan kadar tol dalam masa terdekat bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menurut Nadzim, dengan membuka permohonan subsidi kepada mereka yang berminat dan layak, kerajaan tidak perlu khuatir tentang kenaikan harga minyak mengikut pasaran semasa.

"Saya yakin jika kerajaan mengambil langkah ini, hanya mereka yang betul-betul layak akan menikmati subsidi ini dan tidak timbul tentang isu kenaikan harga seperti tambang bas sekolah, barang keperluan dan sebagainya," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau juga mahu kerajaan menilai semula tentang pemberian subsidi tepung memandangkan wujudnya syarikat tertentu yang menyalahgunakan subsidi tersebut dengan mengeluarkan tepung tidak berkualiti.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, secara dasarnya kajian makmal tersebut tidak diperlukan memandangkan kerajaan telah mengambil keputusan menaikkan kadar tol walaupun bukan dalam masa terdekat.


Dalam masa sama, katanya, kerajaan boleh melaksanakan kajian kenaikan harga barang dengan menubuhkan Suruhanjaya Kos yang akan bertindak sebagai orang tengah antara kerajaan dan peringkat akar umbi.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...