Friday, January 3, 2014

1077) HARIAN METRO 1/1/2014 PAKAT CATU JIKA HARGA AIS NAIK





Headline: Pakat catu jika harga ais naik
Publication: HM
Date of publication: Jan 1, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 056


Kuala Lumpur: Pengguna boleh berpakat dengan mencatukan penggunaan ais sekiranya terkesan dengan kenaikan harga bahan itu, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (gambar).

Beliau berkata, orang ramai berhak bertindak demikian bertujuan untuk mempertahankan hak pengguna terutama membabitkan kenaikan harga barangan pada masa kini.

"Disebabkan ais bukan barangan kawalan, pengusaha berani menaikkan harga sesuka hati dengan alasan kenaikan tarif elektrik dan gaji minimum pekerja.

"Sebagai pengguna kita boleh bertindak untuk menyekat kenaikan itu, salah satunya berpakat untuk tidak membeli ais, akhirnya pengusaha juga yang akan menerima impak kerana tiada permintaan daripada pelanggan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Nadzim juga mencadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membentuk satu jawatankuasa bagi memantau dana menangani kenaikan harga terhadap barangan keperluan.

Nadzim mengulas ura-ura berkenaan kenaikan harga ais yang dijangka bermula hari ini.

Berdasarkan laporan sebuah portal mengatakan Persatuan Pengeluar Ais Tiub Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan menaikkan harga ais sehingga 50 sen satu beg manakala satu bongkah ais pada harga RM2.50.

Sementara itu, persatuan bersama 26 pengilang ais di Lembah Klang menerusi iklan dalam akhbar bahasa Inggeris menegaskan kenaikan itu tidak dapat dielakkan akibat peningkatan kos pembuatan dan pengedaran.

Pihak terbabit memberi alasan antara lain langkah itu disebabkan kenaikan tarif elektrik mulai 1 Januari ini selain pengurangan subsidi diesel.

Pada masa sama, pihak terbabit mendakwa pengilang terpaksa menanggung kos tambahan berikutan penguatkuasaan perintah gaji minimum mulai tahun depan di samping peningkatan harga beg plastik, tayar dan alat ganti.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan KPDNKK mengingatkan pengeluar ais supaya tidak berpakat menaikkan harga sewenang-wenangnya jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang termasuk mengikut Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.


Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, ini kerana tindakan berkenaan seolah-olah memperkotak-katikkan hak pengguna.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...