Tuesday, January 7, 2014

1085) UTUSAN MALAYSIA 7/1/2014 KPDNKK PERLU LEBIH TEGAS BENDUNG PENYALAHGUNAAN HARTA INTELEK



KUALA LUMPUR 6 Jan. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap penyalahgunaan harta intelek yang dilihat semakin berleluasa.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, harta intelek seperti aset-aset melibatkan produk, ciptaan, karya, rekaan dan konsep perniagaan wajar diberi perlindungan sepenuhnya agar peserta industri dapat berdaya saing serta maju.

Tambahnya, penyalahgunaan harta intelek itu boleh memberikan impak negatif kepada masyarakat di samping merugikan ekonomi negara.

"Kita khuatir, perkara ini kalau dilihat lebih meluas boleh memberi kesan seperti masyarakat pemalas yang hanya menunggu idea-idea dari luar. Orang lain juga berniaga, tapi kenapa mesti menciplak hasil karya mereka demi keuntungan semata-mata?

"Bukan sahaja peniaga, malah negara juga terkena tempias. Gejala ini boleh mengakibatkan kerugian berbilion ringgit saban tahun, kita tidak mahu nama Malaysia tercemar seperti sesetengah negara lain yang gemar menciplak barangan berjenama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai 'penciplakan harta intelek tindakan tidak bermoral yang perlu dibendung' di Villa Puteri Kondominium, Jalan Tun Ismail, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Peguam Harta Intelek, Datuk Mohamad Bustaman Abdullah, Aktivis Pengguna PPIM, Mohd. Mustafa Hamzah dan Pengarah Urusan Fareeda Global Resources Sdn. Bhd., Aminuddin Basirron.

Sementara itu, Aminuddin merangkap ahli PPIM berkata, ekoran daripada penyalahgunaan tersebut, syarikat yang menciplak boleh mengaut keuntungan lebih besar berbanding syarikat pengeluar asli.

"Syarikat penciplak akan menghasilkan produk yang hampir sama daripada segenap sudut dan akhirnya menarik minat pengguna untuk membeli produk yang serupa tetapi jauh lebih murah daripada produk asli.


"Namun kita tahu, yang asli akan lebih berkualiti. Tetapi apakah perkara ini perlu terus dibiarkan tanpa tindakan tegas diambil? Saya yakin kalau pihak berkuasa giat membendung gejala ini, maka ramai yang takut untuk berbuat demikian," katanya

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...