Thursday, January 9, 2014

1093) UTUSAN MALAYSIA 6/1/2014 KEMPEN KUMPUL MINYAK MASAK TERPAKAI




SHARUNI Ismail (duduk, tengah bersongkok hitam) bergambar bersama-sama tetamu dan pelajar-pelajar kejuruteraan awam dan kakitangan Politeknik Shah Alam sempena Program Mengumpul Minyak Terpakai di TTDI, baru-baru ini.
Politeknik Shah Alam (PSA) dengan kerjasama beberapa pertubuhan dan organisasi telah mengadakan Kempen Mengumpul Minyak Masak Terpakai di TTDI baru-baru ini.

Antara organisasi dan pertubuhan yang terlibat adalah Majlis Perwakilan Penduduk Zon 16, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri dan Syarikat Pengusaha Minyak Biodiesel, Kris Biofuels Sdn. Bhd.

Menurut Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA, Sharuni Ismail, antara objektif utama program tersebut adalah untuk menggalakkan siswa dan siswi PSA untuk melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan.

"Di samping mengadakan program bersama masyarakat, kita mahu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya menggunakan minyak terpakai.

"Dalam laporan akhbar 31 Oktober lalu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program tersebut di perkarangan Dewan Bunga Kertas MBSA di TTDI di sini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kris Biofuels Sdn. Bhd, Datuk Zainal Abidin Abdullah, Pengarah Bahagian Kitar Semula PPSPPA, Ismail Mohamad dan Pengerusi Persatuan Penduduk Zon 16 merangkap Ahli MBSA, Ir. Izham Hashim.

Sementara itu menurut Pengarah Program Kitar Semula tersebut, Zarinah Zaini, program tersebut merupakan aktiviti antara pelajar PSA dan penduduk setempat yang julung-julung kali diadakan.

"Kita menyasarkan pelajar kita seramai hampir 300 orang ini akan mampu mengumpul 200 liter minyak masak terpakai dan membawanya ke sini.

"Sebelum kita mengutip minyak masak terpakai kita terlebih dahulu sudah memaklumkan kepada kira-kira 1200 pemilik rumah dengan kerjasama Persatuan Penduduk Zon 16 agar mereka bersedia dengan minyak masak yang ingin dilupuskan sebelum siswa-siswi datang membuat kutipan ke rumah mereka,"katanya.


Katanya, di samping mengelak minyak masak dibuang sewenang-wenangnya ke longkang, minyak yang dikumpul akan diserah kepada syarikat Kris Biofules untuk dikitar semula menjadi minyak biodiesel.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...