Thursday, January 9, 2014

1091) BERITA HARIAN 8/1/2013 RESOLUSI TIADA KAITAN KALIMAH SUCI






Headline: Resolusi tiada kaitan kalimah suci
Publication: BH
Date of publication: Jan 8, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 009


Kuala Lumpur: Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mendakwa resolusi 10 perkara yang menjadi sandaran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dalam mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tiada kena mengena dengan isu kalimah Allah.

Sebaliknya, resolusi itu berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimportan Bible versi bahasa Melayu ke negara ini.

Wakil NGO, Datuk Zulkifli Noordin, berkata Kerajaan Persekutuan berhak memberi kelonggaran atau syarat kepada mana-mana pihak yang mahu membawa masuk atau mengimport apa juga barangan dari luar.

Katanya, membawa masuk atau mengimport mana-mana penerbitan yang mengandungi perkataan atau kalimah yang dilarang adalah 'prima facie' yang boleh diambil tindakan termasuk merampas bahan penerbitan itu dan dikenakan pertuduhan di mana-mana mahkamah jenayah sivil.

"Resolusi 10 perkara itu hanya dasar kerajaan yang tidak boleh melanggar, bercanggah atau bertentangan dengan mana-mana undang-undang negara.

"Jika ia bercanggah atau bertentangan, ia tidak terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

NGO Islam itu merangkumi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Jalur Tiga (JATI), Peguam Pembela Islam (PPI), Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA).

Kelmarin, MKPN mengkritik JAIS dengan alasan tindakan pihak berkuasa agama itu bercanggah dengan resolusi 10 perkara yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan dan dipersetujui pihak Kristian.

Sambil menyifatkan tindakan MKPN mengkritik JAIS sebagai tergesa-gesa dan gopoh dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah, Zulkifli berkata, ketiadaan JAIS dalam mesyuarat MKPN untuk memperjelaskan tindakan mereka itu dilihat sebagai pencabulan hak asasi dan pelanggaran prinsip keadilan sejagat yang tidak sepatutnya berlaku.

Tindakan selaras undang-undang

Katanya, tindakan JAIS itu selaras dengan peruntukan undang-undang jenayah iaitu Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa di Selangor yang secara jelas melarang penggunaan beberapa kalimah, termasuk kalimah Allah.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu menambahbaik keanggotaan MKPN dengan memastikan sekurang-kurangnya tiga tokoh agama bertaraf ulama dilantik dalam majlis berkenaan bagi memastikan Islam diwakili mereka yang pakar dan layak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bible Malaysia (PBM), Lee Min Choon, berkata tindakan undang-undang yang akan diambil bergantung kepada keputusan pihak berkuasa dalam menangani kes serbuan dan rampasan Bible di pejabat persatuan itu, baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai pengedar tunggal kitab itu di kalangan penganut Kristian, pihaknya tidak pernah menyebar agama itu kepada umat Islam dan rampasan kitab itu disifatkan sebagai tidak menghormati resolusi penyelesaian yang dicapai bersama kumpulan Kristian pada April 2011.


Tegasnya, tindakan JAIS jelas melanggar kandungan resolusi yang antaranya mengizinkan pengimportan kitab dalam semua bahasa, termasuk terjemahan bahasa Malaysia dan Indonesia.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...