Wednesday, January 22, 2014

1128) SINAR HARIAN 22/1/13-NGO terkilan Sweden tidak beri penjelasan



KUALA LUMPUR - Gabungan NGO Islam dan Melayu mendesak kedutaan Sweden memberi penjelasan berhubung penahanan pasangan suami isteri rakyat Malaysia yang didakwa memukul anak mereka kerana tidak bersolat. 

Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Jamal Yunos berkata, pihaknya melihat perkara ini, serius apabila lebih sebulan pasangan suami isteri itu belum mendapat pembelaan. 

"Kami juga terkilan apabila pihak kedutaan masih belum tampil beri penjelasan kukuh berhubung penahanan yang telah dibuat. 

"Kami ingin tahu apakah punca sebenar penahanan mereka, jika mereka kata ada peraturan yang membenarkan, maka jelaskan apakah peraturan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui bersama 20 lagi wakil NGO yang hadir menyerahkan memorandum di pejabat kedudukan Sweden, semalam. 

Antara NGO yang hadir, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa. 

Sementara itu, memorandum tersebut diterima Timbalan Ketua Kaunselor di Kedutaan Sweden di Malaysia Sven Theus Malmberg. 

Menurut Jamal, jika pihak kedutaan Sweden gagal memberikan penjelasan sebelum Jumaat, satu perhimpunan akan diadakan di hadapan kedutaan itu bersama seluruh NGO Islam dan Melayu. 

Beliau berkata, kehadirannya bukan sekadar untuk memberi sokongan kepada pasangan rakyat Malaysia itu tetapi menuntut untuk pihak luar lebih sensitif dengan isu rakyat di negara ini. 

Jamal berkata, sebanyak 5,014 NGO bergabung di bawah gabungan itu. 

Pasangan itu, Azizul Raheem Awalludin dan isteri, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember lalu untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat. 

Akibat penahanan itu pasangan terbabit terpaksa meninggalkan empat anak mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun di bawah jagaan keluarga angkat yang ditempatkan oleh pihak kerajaan Sweden. 

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, tiada pertuduhan dikemukakan terhadap Azizul dan isterinya malah tidak dibenarkan berjumpa anak-anak mereka. 

Dalam pada itu, pasangan suami isteri yang berusia dalam lingkungan 40-an berkenaan ditahan 18 Disember lalu dan reman mereka dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi pada Khamis.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/ngo-terkilan-sweden-tidak-beri-penjelasan-1.242963

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...