Monday, January 20, 2014

1122) UTUSAN MALAYSIA 18/1/2014 SEGERA BERTINDAK BENDUNG MANIPULASI HARGA BARANG



KUALA LUMPUR 17 Jan. - Kerajaan tidak boleh lagi memberi ruang kepada pemborong, pembekal dan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang supaya rakyat tidak terus berasa runsing atau bimbang dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Akta Kawalan Harga, Antipencatutan 2011 dan Akta Persaingan 2010 mesti dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mengawal tindakan sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan perlu mengerakkan jenteranya untuk memberi penjelasan secara mudah kepada rakyat mengenai kenaikan harga barang bagi mengelakkan mereka terkeliru dengan situasi yang berlaku.

"Sekarang seolah-olah ada pakatan terancang antara beberapa pihak yang berani menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah dan boleh menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada kerajaan. Ini bermakna tindakan kerajaan kurang menyengat sehingga situasi ini berlarutan.

"Tindakan tegas perlu diambil supaya kumpulan ini takut dan mendapat pengajaran selain rakyat perlu disedarkan menerusi penjelasan berterusan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Nadzim, isu kenaikan harga barang boleh menjejaskan imej kerajaan jika tidak ditangani dengan cepat dan betul kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah peniaga menaikkan harga tanpa sebab yang seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi di sebalik tindakan tersebut.

"Sebagai contoh dalam isu kenaikan kadar tol, kerajaan belum laksanakan tetapi ada peniaga yang menjadikannya alasan untuk menaikkan harga barang.


"Ini secara tidak langsung menampakkan kenaikan harga berlaku kerana keputusan kerajaan," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...