Monday, January 13, 2014

1108) UTUSAN MALAYSIA 11/1/2014 SEKRETARIAT NGO SELANGOR SOKONG JAIS






SHAH ALAM 10 Jan. - Lebih 200 orang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Sekretariat NGO Selangor mengadakan perhimpunan aman di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini selepas solat Jumaat hari ini.

Perhimpunan itu bagi memberi sokongan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertindak merampas Bible versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya, Khamis lalu.

Pengerusi Sekretariat NGO Selangor, Datuk Jamal Yunos berkata, kira-kira 60 ketua NGO dari seluruh Selangor turut serta dalam perhimpunan aman tersebut untuk menyerahkan memorandum menyokong penuh tindakan JAIS itu.

"Sokongan penuh diberikan kerana JAIS bertindak berlandaskan peruntukan perundangan serta berdasarkan keperluan penguatkuasaan undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Kami mahu proses penguatkuasaan sentiasa dijalankan mengikut peruntukan perundangan sedia ada dan istiqamah untuk mempertahankan kesucian Islam," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada JAIS di pekarangan bangunan jabatan itu di sini.

Memorandum itu diterima oleh Pegawai Petugas Khas JAIS, Ahmad Darul Akmal Mohd. Ali.

Antara NGO terbabit termasuk Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Jalur Tiga Malaysia (Jati) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Jamal dalam pada itu turut mengutuk sekeras-kerasnya sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat mengutamakan kepentingan politik dan seolah-olah tidak mempedulikan agama Islam.

"Kami mahu kerajaan negeri tidak mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja dan tindakan JAIS merampas Bible itu sehingga menafikan peruntukan perundangan sedia ada.


"Selagi penguatkuasaan JAIS itu mengikut undang-undang, semua pihak perlu menghormatinya," tegas beliau

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...