Friday, January 3, 2014

1076) HARIAN METRO 1/1/2014 PPIM DAKWA PENYEDIA PERKHIDMATAN JALUR LEBAR





Headline: PPIM dakwa penyedia perkhidmatan jalur lebar
Publication: HM
Date of publication: Jan 1, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 054


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mengambil tindakan mahkamah terhadap sebuah syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar mudah alih berikutan kegagalan syarikat itu menyediakan perkhidmatan seperti dijanjikan kepada ribuan pelanggannya.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, syarikat berkenaan didakwa bukan saja gagal menyediakan capaian Internet seperti dijanjikan, malah pelanggan berdepan prosedur rumit jika mahu menamatkan langganan dengan caj dan bayaran tambahan tidak munasabah.

Lebih teruk, ramai pelanggan mendakwa syarikat akan menggantung perkhidmatan sekiranya mereka enggan membayar yuran langganan ekoran capaian Internet tidak memuaskan di kawasan pelanggan serta tidak setimpal dengan bayaran dibuat walaupun aduan sudah dibuat kepada syarikat itu.

"Bagaimanapun, selepas menggantung perkhidmatan, pelanggan tetap dikenakan bayaran langganan sehingga tamat kontrak.

"Ini jelas menunjukkan ketidakadilan serta berunsur penipuan kerana perkhidmatan ditamatkan atau digantung syarikat itu sendiri.

"Lebih teruk, pelanggan yang tidak menjelaskan tuntutan syarikat berkenaan turut disenaraihitamkan dengan syarikat rujukan kredit, Credit Tip Off Sdn Bhd (CTOS) hingga menghadapi kesulitan memohon pinjaman bank," katanya pada sidang media aduan beberapa pelanggan syarikat perkhidmatan jalur lebar itu di Pejabat PPIM di sini, semalam.

Sebelum ini, syarikat berkenaan dipercayai menerima kecaman daripada 18,000 pengikut menerusi sebuah kumpulan di Facebook yang diwujudkan sejak tiga tahun lalu bagi berkongsi pengalaman dan masalah berkaitan perkhidmatan syarikat terbabit.

Nadzim berkata, berikutan ribuan pelanggan gagal mendapat maklum balas sewajarnya daripada syarikat terbabit, pihaknya dimaklumkan syarikat itu diberi tempoh sehingga esok untuk memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu itu.

"Sehubungan itu, PPIM menggesa syarikat terbabit tampil menyelesaikan masalah dihadapi hampir kebanyakan pelanggan mereka secepat mungkin. Jika gagal berbuat demikian, kita tidak teragak-agak mengheret syarikat itu ke muka pengadilan," katanya.


Sementara itu, mangsa yang juga pengendali ruangan kumpulan berkenaan di Facebook, Mohd Rizuani Mohd Yahya, 38, mendakwa menerima e-mel daripada syarikat berkenaan yang mahu akaun kumpulan itu ditutup dua tahun lalu dan dia dijanjikan habuan serta tunggakan miliknya dihapuskan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...