Saturday, January 4, 2014

1078) HARIAN METRO 31/12/2013 RUGI RM3 JUTA SEHARI





Headline: Rugi RM3 juta sehari
Publication: HM
Date of publication: Dec 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Hamizah Badiran


Kuala Lumpur: Seramai 20,000 pemandu teksi yang beroperasi di Lembah Klang terutama Kuala Lumpur akan kerugian sekurang-kurangnya RM3 juta sehari jika Himpunan Guling Kerajaan yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka hari ini diteruskan.

Selain kerugian, perhimpunan haram yang dibuat semata-mata demi kepentingan pihak tertentu itu turut menjejaskan imej negara yang harmoni serta perniagaan ribuan peniaga dan penjaja di ibu negara.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPSTSM) Datuk Mohd Alias Abdul berkata, pemandu teksi boleh memperoleh pendapatan minimum kira-kira RM150 sehari dan jika perhimpunan itu diteruskan, aliran wang tunai mereka terbantut.

"Justeru, kami membantah sekeras-kerasnya cadangan perhimpunan yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka dan jalan sekitarnya pada malam itu nanti.

"Perkara ini tidak mendatangkan faedah, sebaliknya membawa musibah kepada ramai pihak terutama pemandu teksi. Selain kerugian, ia juga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk menyebabkan mutu perkhidmatan teksi terganggu, sekali gus menakutkan pelancong asing.

"Sudahlah tahun depan diisytihar Tahun Melawat Malaysia, perkara macam ini pula yang mereka mahu lakukan. Ia amat memalukan!" katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis membantah penganjuran perhimpunan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Terdahulu, GPSTSM diwakili Setiausahanya Abdul Jalil Maarof membuat laporan di IPD Dang Wangi berhubung perkara itu jam 11 pagi.

Selain Abdul Jalil dan Mohd Alias, kira-kira 50 pemandu teksi dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut hadir di luar IPD bagi memberi sokongan sambil menunjukkan sepanduk bantahan.

Menurut Mohd Alias, berdasarkan pengalaman lalu (Bersih 1, 2 dan 3), pemandu teksi di Lembah Klang sudah cukup teraniaya berikutan sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan.

"Siapa nak ganti pendapatan RM150 sehari yang sepatutnya diperoleh pemandu teksi? Mereka harus sedar kami bukan golongan makan gaji, pendapatan kami ikut hari," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan sepatutnya terhadap penganjur dan dalang perhimpunan itu kerana hanya menyusahkan ramai pihak serta mencalar imej negara.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...