Friday, November 15, 2013

988) HARIAN METRO 14/11/13-Seksi main besi



MENARIK apabila dipandang terutama si badan sasa lengkap dengan pakej berwajah `macho', bertambah seksi apabila membuka baju. Namun benarkah tiada kesan negatif apabila memperolehnya dalam masa singkat? SHUHADA MANSOR temui lelaki obses `main' besi dan bertanyakan sejauh mana mereka mendalami maklumatnya sebelum bermula.

`Main' besi boleh dikategorikan sebagai salah satu sukan yang semakin popular dalam kalangan jejaka. Tak terkecuali juga gadis yang inginkan bentuk badan berotot tapi majoritinya dimonopoli kaum lelaki.

Bina badan bukan lagi perkara asing memandangkan kebanyakan lelaki zaman sekarang makin sedar pentingnya penjagaan tubuh badan selain mengimpikan bentuk badan sasa seperti selebriti terkenal dalam dan luar negara.

Sama ada untuk dapatkan kesan dalam masa singkat atau panjang, ada yang sanggup menghabiskan masa dan wang pergi ke gimnasium atau membeli peralatan senaman seperti palang besi (bar), `dummbell' dan `olympic bench' untuk digunakan di rumah demi mendapatkan bentuk badan diidamkan.

Trend ini sangat jelas terbukti apabila gimnasium dipenuhi dengan jejaka terutama waktu cuti dan hari minggu. Mungkin hanya melaburkan kurang 10 peratus daripada pendapatan bulanan, mereka dapat memperoleh susuk tubuh berotot, ideal dan menggiurkan.

BAHAYA MAHU CEPAT SASA

Media yang sering memaparkan gambar pelakon barat dan tempatan di muka hadapan yang bertubuh sasa dan digilai ramai wanita. Secara tak langsung ia mampu mempengaruhi golongan muda untuk mendapatkan bentuk badan sedemikian.

Ada pilihan dengan memperoleh jalan mudah atau susah. Jalan mudah dengan pengambilan steroid untuk hasil lebih cepat manakala prosedur biasa dengan bersenam ikut gaya betul tetapi makan masa panjang.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dalam satu kenyataannya berkata, masyarakat terutamanya golongan muda memerlukan panduan serta bimbingan yang betul dalam memiliki bentuk badan yang menarik.

Jelasnya, ekoran kurangnya pendedahan berhubung bahaya dan kesan sampingan pengambilan ubat terkawal itu, golongan muda mengambil jalan singkat dengan mengambil steroid bagi memiliki bentuk badan diidamkan.

STEROID ANCAM 18,000 BELIA

Menurut laporan sebuah akhbar pada Julai lalu, lebih 18,000 orang kebanyakannya golongan belia terdedah kepada ancaman kesihatan serius termasuk boleh membawa kematian gara-gara penggunaan steroid hanya kerana mahu tampil menarik dan berotot.

Lebih malang sebahagian besar daripada mereka langsung tidak menyedari kesan sampingan pengambilan ubat terkawal itu apatah lagi tidak mendapatkan nasihat doktor atau pakar terlebih dulu sebelum menggunakannya.

Penasihat latihan profesional, Ahmad Zaki Jinlapudin menyifatkan perkara itu sebagai `kerja gila' sebenarnya boleh menyebabkan ramai berisiko diserang sakit jantung, kerosakan hati dan darah tinggi secara senyap.

Beliau yang berpengalaman luas selama 10 tahun dalam bidang bina badan dan kecergasan menganggarkan separuh daripada mereka yang ke gimnasium yang asalnya untuk tujuan kesihatan terjebak dengan penggunaan steroid.

"Hasil maklumat dan pemerhatian, saya anggarkan separuh daripada ahli pusat kecergasan atau gimnasium menggunakan steroid. Kalau berdasarkan 300 gimnasium komersial dan 60 gimnasium rakyat di seluruh negara dengan anggaran 100 orang ahli setiap gimnasium, ini bermakna 18,000 orang khususnya belia menggunakan steroid tanpa menyedari risikonya.

"Disebabkan terpengaruh dengan `senior', ramai ahli gimnasium baru mengambilnya menerusi pil dengan harga serendah 50 sen sebiji atau suntikan yang kosnya mencecah ribuan ringgit," katanya.

SASA UNTUK MEMIKAT

Walaupun kelihatan seksa ketika sedang bersenam, tetapi percayalah ada sebahagian gadis yang mengimpikan lelaki badan sasa sebagai teman lelakinya. Ia ibarat bonus kepada mereka yang tergolong dalam sukan ini.

Namun, ada juga beranggapan lelaki `main' besi bertujuan untuk pikat wanita dengan bentuk tubuh badan berotot dan seksi. Persoalan ini diajukan sendiri penulis kepada beberapa jejaka yang obses `main' besi.

Menurut Mohd Amri Abd Kadir, 26, dia menyangkal dakwaan itu dengan menjelaskan memperoleh bentuk badan ideal adalah hasratnya sejak dulu selain bukan saja jadikan kita sihat dan terasa lebih bertenaga.

"Jika ditanya sama ada ia memikat atau tidak, mungkin dari sudut psikologi, individu sekeliling akan menyukai seseorang yang positif. Apabila tubuh sihat, secara automatik kita akan jadi positif dan orang suka pandang. Aura positif itu sebenarnya yang memikat untuk buatkan orang pandang," katanya.

Kenyataan itu dikongsi rakannya yang juga model sambilan, Irfan Faiz Fakhrudin, 25, dengan mengakui sebagai model, dia harus menjaga penampilan terutama bentuk badan untuk sentiasa kelihatan menarik di kaca televisyen. Katanya, hal sama turut berlaku kepada selebriti dan artis tempatan kerana apabila berstatus `public figure', mereka perlu mempunyai tubuh menarik untuk popular.

"Bagi jejaka tak kiralah maskulin atau tidak, tubuh adalah aset dan menjadi instrumen untuk digayakan seharian. Kalau perempuan lebih muda dengan berpakaian cantik ditambah aksesori, lelaki perlu tubuh menarik untuk wujudkan aura tersendiri," katanya.

POTENSI JADI GEMUK

Pandangan ini disuarakan segelintir jejaka yang beranggapan sekiranya seseorang itu berhenti daripada `main' besi, dia berpotensi untuk jadi gemuk dengan mendadak.

Justeru, hal ini membuatkan mereka lebih selesa dengan keadaan badan sedia ada tak kiralah gemuk atau kurus memilih untuk berkeadaan begitu tanpa bersusah payah bina otot.

Bagi Saufi Mohd Syukri, 28, dia berpendapat bina badan tidak semestinya untuk memiliki badan gagah tetapi memadai untuk memberikan kepuasan apabila melihat diri sendiri di hadapan cermin.

"Dari segi pemakanan, saya lebihkan makanan berprotein tinggi seperti daging dan ayam, manakala makanan tambahan cuma protein `shake', minyak ikan dan multivitamin.

Perlu berdisiplin mengikut arahan piramid makanan selain mengawal makanan banyak lemak dan gula akan membantu," katanya.

Mengenai kesan sukan itu jika ditinggalkan pada masa akan datang, katanya yang menjadikan jaguh bina badan negara, Sazali Samad sebagai idolanya memberitahu, tubuh badan seseorang itu boleh menjadi gemuk jika cara pemakanan tidak dikawal namun akan kembali normal seperti asal jika cara pemakanan diamalkan dengan betul.

DIPANDANG `GELI'

Dipuji seksi, berbadan tegap dan menggiurkan itu sudah biasa didengar. Namun ada cerita sebaliknya. Mereka yang ditemui sempat meluahkan perasaan kepada penulis mengenai pandangan masyarakat yang sinis. Diakui, mereka bukan bermegah atau bangga memiliki tubuh badan berotot besar, atau seperti dituduh menjadikannya aset utama memikat kaum wanita.

"Tidak semua wanita suka dengan lelaki yang menjadi ahli bina badan, malah ada yang `geli' melihat kami. Ada yang berbisik-bisik dan mengumpat secara terangan tapi saya tak ambil hati. Selain itu, tak nafikan cara orang yang bina badan berjalan memang dilihat seperti berlagak terutama mereka yang profesional dalam sukan ini.

"Orang ramai kena memahami keadaan fizikal kami yang sudah mengembang hasil otot yang semakin membesar sehingga mengubah cara berjalan. Itu sebabnya," kata Saufi.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...