Wednesday, November 27, 2013

1004) HARIAN METRO 25/11/13-DATUK KENA 'KENCING'


Headline: DATUK KENA 'KENCING'
Publication: HM
Date of publication: Nov 25, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya sudah tak tahu nak buat apa, terpaksa hubungi isteri di Malaysia untuk dapatkan bantuan sebab kehabisan wang selepas tersadai selama tiga minggu di Amsterdam," kata seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, yang ditipu satu sindiket.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi, 63, berkata, dia sanggup pergi ke ibu negara Belanda itu selepas dijanjikan bakal membawa pulang wang hampir RM200 juta yang disimpan satu rangkaian pelaburan di luar negara.

Menurutnya, sebelum sedar ditipu ejen pelaburan yang juga 'rakan kongsi' barunya di negara berkenaan dia sudah membelanjakan wang simpanannya berjumlah RM500,000.

Menceritakan pengalamannya ditipu ejen itu, Zaidi berkata, dia ditinggalkan bersendirian di Amsterdam oleh ejen pelaburan terbabit yang mengarahkan menunggunya mengambil dokumen sulit yang didakwa ada di Hong Kong bagi melengkapkan proses pengeluaran wang itu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dimaklumkan transaksi yang ingin dibuat bukan di bank sebaliknya sebuah syarikat insurans, dia mula sedar ditipu lelaki terbabit yang dikenalinya menerusi seorang rakan di Malaysia sekitar September lalu.

Mangsa berkata, selepas berkenalan dengan ejen terbabit, dia dipujuk mengeluarkan wang RM100,000 sebagai bayaran kos untuk mengeluarkan wang yang didakwa disimpan di Lombard Finance Corporation di Luxembourg.

Katanya, lelaki itu menunjukkan beberapa dokumen sulit termasuk salinan penyata akaun berjumlah ratusan juta ringgit didakwa milik seseorang yang berpengaruh, namun tidak dapat dikeluarkan atas sebab keselamatan.

Antara dokumen lain ialah pengesahan daripada Bank Negara, kerajaan Amerika Syarikat dan sijil kelayakan untuk mengeluarkan wang berkenaan yang didakwa hanya diterima oleh penyumbang berpotensi.

"Permulaannya, saya hairan juga mengapa perlu ke Amsterdam sedangkan wang itu dikatakan berada di Luxembourg, tetapi saya ikutkan saja selepas diberitahu akan dibawa bertemu seorang pegawai bank yang kononnya bertanggungjawab mengeluarkan wang itu.

"Semua kos penginapan dan penerbangan saya dan ejen itu saya tanggung sepenuhnya berjumlah hampir RM200,000. Pada 15 September lalu, saya serahkan lagi RM100,000 dan sehari selepas itu, saya tambah lagi 8,250 Pound Sterling (kira-kira RM50,000).

"Selepas berurusan di bank di Amsterdam, saya dimaklumkan dokumen yang kami bawa tidak lengkap dan ejen itu perlu mengambilnya di Hong Kong. Dia meninggalkan saya sendirian di Amsterdam dan berjanji akan datang semula," katanya ketika membuat aduan kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, semalam.

Zaidi berkata, dia tinggal di Amsterdam selama tiga minggu seperti diarahkan ejen terbabit, namun berasa tidak sedap hati selepas tiada perkembangan dan pada masa sama sudah kehabisan wang untuk menampung perbelanjaan.

Katanya, dia menghubungi isterinya di Malaysia dan meminta memasukkan sejumlah wang ke akaun untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia sebelum membuat laporan.

"Setiba di tanah air, saya cuba mendapatkan ahli keluarga ejen itu dan dimaklumkan dia berada di luar negara sehinggalah pada satu hari, menerusi bantuan seorang rakan lain, saya berjumpa dengannya di sebuah hotel di ibu negara.

"Bukan saja dia tidak mahu minta maaf, malah dia minta saya berjumpa seseorang bergelar Tuanku kerana kononnya arahan mendapatkan wang itu datang daripadanya," katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya sudah merujuk kes berkenaan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan kita ke atas dokumen terbabit mendapati, wujud unsur penipuan kerana duit yang dikatakan dipunyai seseorang bergelar Tuanku itu memang tidak wujud, malah ia disahkan bank di Amsterdam sendiri.

"Kami juga akan memanjangkan perkara ini kepada pihak berwajib lain bagi menentukan kemungkinan ada lagi mangsa yang kerugian akibat penipuan ini," katanya.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...