Tuesday, November 12, 2013

982) UTUSAN MALAYSIA 9/11/13-Tiada kes minyak masak dikitar semula di Perak

SAMSUDIN Abu Hasan (tengah) memeriksa minyak masak ketika mengadakan pemeriksaan sebuah kilang minyak masak di Menglembu, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 8 Nov. - Minyak masak yang dijual di negeri ini selamat digunakan dan tidak ada kes bahan itu dihasilkan daripada minyak masak terpakai, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Beliau berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di 14 daripada 22 kilang pembungkusan minyak masak di seluruh negeri ini hari ini dan mendapati tidak berlaku kegiatan tersebut.

Katanya, kilang tersebut ialah empat di sini, Taiping (lima), Parit Buntar (dua), Teluk Intan (dua) dan Manjung (satu).

"Kita telah membuat pemeriksaan secara serentak di 14 kilang membungkus minyak masak di seluruh negeri ini dan dapati tidak ada kes minyak masak dikitar semula.

"Ini memberikan keyakinan kepada pengguna di negeri bahawa minyak masak yang ada di pasaran termasuk di dalam bentuk paket selamat digunakan," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas bersama Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. Hilmi Mohd. Noor mengetuai operasi di empat kilang membungkus minyak masak di sini.

Operasi tersebut membabitkan seramai 20 pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri; Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Jabatan Kesihatan negeri.

Menurut Samsudin, pihaknya memandang serius dakwaan terdapat minyak masak dikitar semula di pasaran kerana boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Katanya, dakwaan tersebut juga sekiranya tidak benar, boleh menjejaskan perniagaan semua pengilang minyak masak.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti yang menyalahi Akta Makanan 1983 itu boleh membuat aduan kepada PPDNKK negeri.

Dalam laporan Utusan Malaysia pada 31 Oktober lalu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20131109/wu_04/Tiada-kes-minyak-masak-dikitar-semula-di-Perak#ixzz2kPf6l9Ks © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...