Wednesday, November 6, 2013

966) UTUSAN MALAYSIA 4/11/13-Pecat CEO GLC enggan iklan dalam surat khabar Melayu



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Kementerian Kewangan diminta bertindak tegas termasuk memecat mana-mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan (GLC) yang enggan mematuhi saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya mereka mengutamakan iklan dalam surat khabar berbahasa Melayu.

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, saranan Perdana Menteri itu tidak sepatutnya dipandang sepi oleh GLC terlibat.

"Jadi POKB mahu Kementerian Kewangan lebih tegas dalam memastikan saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu dipatuhi dan memecat mana-mana CEO GLC yang ingkar dan sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang menyentuh sikap GLC tidak mengutamakan iklan kepada akhbar berbahasa Melayu.

Dalam artikel bertajuk GLC dan iklan, Awang Selamat menyatakan tertarik dengan gesaan pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff agar diwujudkan Dasar Pengiklanan Negara (DPN).

Tambah Sheikh Ahmad Dusuki, pihaknya turut menyokong gesaan tersebut bagi memastikan pengawalan kepada industri iklan, menangani lambakan iklan asing dan mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Jelasnya, jika dasar itu tidak dilaksanakan, dibimbangi juga nasib akhbar-akhbar berbahasa Melayu menjadi seperti akhbar Utusan Melayu (Jawi) yang telah berkubur kerana tidak ada sokongan daripada para pengiklan.

"Keresahan Awang Selamat berhubung kajian terbaharu AmResearch berkenaan perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar berbahasa Melayu yang merosot turut dirasakan POKB.

"Jadi kita mahu, GLC seperti Celcom, CIMB dan TM (Telekom Malaysia) mencontohi Bank Rakyat dan RISDA yang sentiasa memberi keutamaan kepada akhbar berbahasa Melayu dalam setiap iklan dan promosi mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, majoriti pengguna dan pelanggan Celcom, TM dan CIMB adalah terdiri daripada orang Melayu.

Sehubungan itu ujarnya, tiada sebab yang boleh menghalang GLC-GLC tersebut mengutamakan pengiklanan dan promosi mereka dalam akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia.

"Seperti dinyatakan oleh Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, bahawa GLC-GLC lebih banyak memberikan iklan kepada media yang menentang kerajaan semasa pilihan raya umum lalu dan menjadi senjata untuk melemahkan kerajaan.

"Jadi kami suka mengingatkan pegawai-pegawai tinggi di semua GLC bahawa mereka berada di tempat yang istimewa dan mendapat pendapatan lumayan ketika ini adalah kerana dasar-dasar diperjuangkan akhbar-akhbar Melayu terutama Utusan Malaysia termasuk sejak sebelum merdeka, kita harap janganlah mereka menggigit jari orang yang beri mereka makan," katanya.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131104/dn_19/Pecat-CEO-GLC-enggan-iklan-dalam-surat-khabar-Melayu#ixzz2jn5BYnEn © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...