Tuesday, November 5, 2013

939) Bisik-Bisik Mingguan Malaysia 20/10/13-KISAH PETRONAS


CAKAP-CAKAP tidak puas hati terhadap prestasi Petronas dalam memperkasakan bumiputera terus menjadi bahan bualan.

Setakat ini belum ada penjelasan yang meyakinkan daripada syarikat petroleum nasional itu.

Seperti biasa, dinyatakan jumlah syarikat bumiputera yang diberi peluang sebagai vendor termasuk dalam industri minyak dan gas.

Persoalannya berapakah nilai yang diperoleh usahawan dan syarikat bumiputera berbanding bukan bumiputera yang khabarnya jauh lebih besar.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa peluang pegawai kanan bumiputera dalam Petronas untuk meningkat naik pada kedudukan lebih strategik makin terhad.

Ada banyak lagi isu termasuk membabitkan Petronas Dagangan Berhad (PDB), anak syarikat Petronas.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Islam (PPIM) mendakwa PDB menganaktirikan usahawan bumiputera terutama dalam memberi peluang perniagaan di rangkaian Kedai Mesra Petronas.

Persatuan tersebut telah banyak menerima rungutan berkaitan PDB yang tidak mencerminkan peranannya sebagai syarikat milik kerajaan (GLC).

Bagi PPIM, Petronas mahupun PDB tidak mengambil pendekatan responsif terhadap teguran, bagai mencurah air di daun keladi.

Mungkin ada kelemahan dalam aspek penyampaian dan pengurusan maklumat di pihak Petronas terutama kepada masyarakat bumiputera.

Atau ada isu berkaitan jati diri dalam kalangan segelintir penjawat tertentu. Alasan yang selalu diberi adalah atas pertimbangan komersial semata-mata, yang ia juga terdedah kepada manipulasi ‘kartel’ dan orang tertentu dalam Petronas.

Apa pun, Awang masih menjadi penyokong tegar Petronas. Setidak-tidaknya, sudah berpuluh tahun setia mengisi minyak di stesen Petronas.

Sebagai pengamal media pula, Awang tidak taksub berpegang kepada pertimbangan jurnalisme semata-mata, yang membolehkan apa sahaja kepincangan dalam Petronas didedahkan, jika mahu.

Pertimbangan nasionalisme mengatasi pertimbangan lain apabila melibatkan Petronas.

Malah sejak dulu lagi Utusan menjadi akhbar paling komited mempertahankan Petronas apabila diserang dan ditohmah termasuk oleh pemimpin pembangkang, biarpun tidak dihargai.

Tetapi mana tahu, Awang berubah selepas ini jika Petronas tidak prihatin kepada keluh kesah pengguna terutama bumiputera dan kelihatan angkuh.

Lagi pun, minyak petrol sama ada di stesen Petronas, Shell, Petron atau BHP sama sahaja. Warna logo dan hiasan Petron yang merah menyala misalnya, lebih ceria serta memikat.

Untuk apa lagi setia?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131020/re_04/Kisah-Petronas#ixzz2jlAKRbyh © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...