Tuesday, November 5, 2013

943) METRO AHAD MUKA DEPAN 27/10/13 : Pengantin mangsa along berantai



Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling

Putrajaya: Inai di jarinya masih merah, tetapi seorang wanita yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga nekad mengelar tangan kirinya untuk mencabut nyawa sendiri.

Bukan disebabkan kerenah suami, tetapi gara-gara tindakan wanita berkenaan meminjam wang cuma RM1,000 daripada ceti haram untuk menguruskan majlis perkahwinannya.

Ini berikutan dia bukan saja dijerat along terbabit sehingga terpaksa membayar sehingga 60 kali ganda, malah tidak tahan kerana diganggu tanpa mengira masa, sejak dua minggu lalu.

Tindakan nekad itu dilakukan awal pagi Isnin lalu, selepas dia diganggu lebih 20 along berantai yang mengenakan kadar bunga tidak masuk akal antara 35 hingga 60 peratus, mengakibatkan dia tidak mampu melunaskan bayaran pinjaman itu.

Mujur ketika kejadian, ahli keluarga di rumah menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku di dalam bilik dan terus membawanya ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan segera.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Mastura, 26, berkata, daripada jumlah RM1,000 yang dipinjam, dia hanya menerima RM300 manakala bakinya ditahan sindiket along.

"Semakin hari saya rasa sungguh tertekan dan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan orang lain, termasuk suami.

"Kemuncaknya Isnin lalu, saya tidak mampu mengawal diri dan mengambil keputusan mengelar tangan menggunakan pisau cukur.

"Dalam fikiran saya waktu itu, biar saya mati daripada terus diganggu along yang meminta wang mereka. Secara tidak sedar, saya menanggung hutang lebih RM30,000, mana saya nak cari duit bayar sebanyak itu, sedangkan jumlah pinjaman hanya RM1,000," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Mastura, dia merahsiakan perkara itu daripada suami kerana mahu semua urusan perkahwinan berjalan seperti dirancangkan tetapi pada masa sama, along yang memegang kad ATM miliknya berikutan masalah pada pinjaman pertamanya, memasukkan wang ke dalam akaun itu tanpa diketahuinya.

Katanya, segala-galanya bermula apabila dia menghadapi masalah kewangan ketika melakukan persiapan perkahwinan, kira-kira empat bulan lalu.

"Sebelum berkahwin, saya meminjam RM5,000 dengan bayaran RM700 sebulan. Semuanya berjalan lancar hinggalah saya tidak mampu membayar dan along mula menghubungi ibu bapa serta mengugut menyimbah cat ke rumah kami.

"Emak yang bimbangkan keselamatan kami kemudian membayar sebanyak dua kali kepada along berkenaan RM2,000 dan RM1,800.

"Tidak lama selepas itu, kami mendapat panggilan daripada ceti mengatakan perlu membayar RM13,000 bagi mengelakkan dikenakan caj lebih tinggi," katanya.

Difahamkan, keluarga Mastura membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pada hari sama.

Kemudian mereka ke Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Selasa lalu, untuk membuat aduan mengenai along berkenaan dan semakan awal mendapati Mastura meminjam daripada syarikat tidak berlesen.

Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM Yati Saharudin berkata, along mengambil kesempatan terhadap Mastura yang mempunyai masalah kewangan dengan menawarkan pinjaman berulang, menyebabkan jumlah meningkat hanya dalam tempoh dua minggu lalu.

"Kita minta dia buat laporan polis dan sekretariat bertemu dengannya untuk memberi sokongan moral mengenai apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, PPIM merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, selain membantu menjadualkan semula pinjaman mangsa selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa along itu.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...