Tuesday, November 5, 2013

954) ABN NEWS : 90% premis makanan guna semula minyak masak terpakai


Oleh Asyraf Fauzi (asyraf.fauzi@abnxcess.com)

KUALA LUMPUR – Hampir 90 peratus peniaga premis makanan didakwa menggunakan semula minyak masak terpakai untuk menyediakan hidangan kepada pelanggan.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan minyak masak kitar semula boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna dan tidak diketahui status halalnya.

“Penggunaan minyak masak kitar semula ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius seperti darah tinggi, kerosakan hati, barah dan sakit jantung. Status halal minyak tersebut juga tidak diketahui kerana ia mungkin dikutip dari restoran-restoran yang menyajikan makanan tidak halal.

“Ia juga akan mencemarkan nama baik Malaysia sebagai negara hab halal dunia kerana terdapat minyak masak kitar semula yang tidak diketahui status halalnya, dicampur dengan minyak sawit sebelum dieksport ke luar negara,” kata Nadzim.

Jelasnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengutip minyak masak terpakai dari restoran dan mengitar semula minyak tersebut untuk kegunaan sama sebenarnya sudah lama berlaku di Malaysia.

“Kebenaran untuk mengutip minyak masak terpakai hanya diberi untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk dijadikan biodiesel, bukan minyak masak kitar semula.

“Namun mereka ini menipu pekedai dengan mengatakan kutipan dilakukan untuk menukarkan minyak tersebut kepada produk seperti lilin atau sabun,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak membeli produk minyak masak kitar semula yang boleh didapati dalam bentuk paket dan sering dijumpai tanpa logo halal.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd, Ja’afar Abdullah.

Dalam masa yang sama, Nadzim turut meminta pihak kerajaan mengambil tindakan dan memantau aktiviti tidak bertanggungjawab demi keselamatan pengguna.

“Walaupun perkara ini sudah melarat untuk satu tempoh yang lama, tiada pihak dikatakan bertanggungjawab memantau aktiviti syarikat yang mengutip minyak masak terpakai dari restoran menyebabkan kegiatan ini semakin berleluasa.

“Saya harap, akan ada pihak berkuasa yang mengambil tindakan memantau aktiviti-aktiviti mereka ini untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau terlibat secara langsung dalam kempen pencegahan pencemaran minyak masak terpakai ke dalam sumber air dengan mengumpulkannya sebagai bahan kitar semula untuk ditukarkan kepada biodiesel.


Dikatakan terdapat  kira-kira 100 syarikat dipercayai terlibat dalam aktiviti mengutip minyak masak terpakai untuk dikitar semula.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...