Tuesday, November 5, 2013

937) UTUSAN MALAYSIA 16/10/13-NGO puji komitmen Mara




KUALA LUMPUR 15 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memuji langkah segera Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai agensi pertama yang merancang, bertindak sekali gus menyahut komitmen kerajaan untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, tindakan proaktif dan terbuka Mara itu sewajarnya dijadikan contoh buat syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) di negara ini.

"Kita tidak mahu lagi GLC dan GLIC yang hidup ini terus retorik iaitu semata-mata menyatakan sokongan tanpa sebarang tindakan serta inisiatif untuk melihat perubahan pada ekosistem ekonomi bumiputera.

"Pada saya bukan sesuatu yang mustahil untuk agensi lain mengikut jejak langkah Mara apatah lagi bidang-bidang keutamaan yang perlu ditumpukan adalah selari dengan kemampuan masing-masing," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berhubung tujuh langkah segera yang akan diambil agensi itu bagi menjayakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Tujuh langkah itu termasuk meningkatkan mutu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); memperkasakan peranan Universiti Kuala Lumpur (UniKL); meningkatkan penajaan pelajar cemerlang ke luar negara dan melaksanakan Dana Pendidikan Mara RM1 bilion.

Keutamaan lain termasuk menggalakkan kontraktor bumiputera bekerjasama dengan Mara melalui Skim Pembiayaan Ekspres (Spike); memberi nafas baharu kepada Amanah Saham Mara dan mewujudkan program keusahawanan yang lebih intensif.

Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya GLC dan GLIC bekerjasama menyokong agenda kerajaan sekali gus mengetepikan agenda peribadi masing-masing yang bersifatkan keuntungan semata- mata.

Hal ini kerana katanya, tindakan segelintir GLC dan GLIC yang mengabaikan golongan bumiputera dilihat tersasar jauh daripada hasrat kerajaan memperkasa ekonomi kaum itu.

"Rakyat semakin celik, mereka mahukan bukti dan oleh itu saya mencabar agensi-agensi seperti Petronas, Maybank dan lain-lain lagi untuk mengemukakan pelan pembangunan serta inisiatif masing-masing yang bakal memberi manfaat kepada golongan bumiputera di negara ini.

"Wawasan 2020 hanya tinggal beberapa tahun lagi, justeru saya tidak mahu budaya anak Melayu dan bumiputera dipinggirkan dan dianaktirikan terus berleluasa sampai bila-bila," tegasnya.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_20/NGO-puji-komitmen-Mara#ixzz2jl88k4eY  © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...