Wednesday, November 6, 2013

961) UTUSAN MALAYSIA 1/11/13-Kementerian sedia siasat pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia



KUALA LUMPUR 31 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menyiasat pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tentang penggunaan minyak masak kitar semula di negara ini.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan selepas menerima laporan lengkap daripada PPIM.

"Setakat ini, pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan tentang masalah tersebut, oleh itu, kita berharap PPIM dapat segera memberikan maklumat dan butiran tersebut supaya siasatan terperinci boleh dijalankan, sekali gus mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia tentang isu bahawa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran, dipercayai hasil kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Perkara itu didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sekali gus mendesak kerajaan memandangkan serius isu terbabit kerana boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Dalam pada itu, Hasan turut memuji usaha yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam membantu kementerian mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pengguna di negara ini.

"Kami sentiasa mendapat kerjasama yang baik daripada PPIM serta pelbagai NGO lain dan saya amat mengalu-alukan usaha sebegitu untuk kebaikan pengguna kita," katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, PPIM sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu kitar semula minyak masak yang telah digunakan yang dipercayai berada di pasaran.

Nadzim berkata, apa yang dilaporkan akhbar adalah maklumat yang diterima daripada bekas pekerja kilang-kilang minyak.

Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan ke beberapa gerai makan, pasar malam dan kuih-muih di sekitar Lembah Klang.

''Kita harap pihak Kementerian Kesihatan dapat periksa semua tempat gerai makan, pasar malam dan gerai kuih yang menggunakan minyak.

''Kita hanya membuat siasatan dalam skala kecil di sekitar Kuala Lumpur dan mungkin mereka (kementerian) boleh buat sampel dalam skala besar," katanya selepas melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Menurut Nadzim, PPIM bukan nak berlawan dengan kementerian tentang isu ini tetapi jika keraguan timbul berdasarkan maklumat yang diterima, kementerian boleh membuat siasatan secara menyeluruh.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya di Putrajaya hari ini berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Makanan 1983 terhadap mana-mana pihak yang didapati mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai yang diproses semula.

Katanya, tindakan itu boleh diambil di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 10 tahun atau kedua-duanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131101/dn_13/Kementerian-sedia-siasat-pendedahan-Persatuan-Pengguna-Islam-Malaysia#ixzz2jmyArzu6 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...