Wednesday, November 6, 2013

962) SINAR HARIAN 1/11/13-Program harus seimbang



SHAH ALAM – Program Restoran Menu Rakyat 1Malaysia harus diseimbangkan dari segi sokongan dan bantuan mempromosikan kewujudannya agar pengguna serta pengusaha sama-sama mendapat manfaatnya.

Setiausaha Agung Ga­bu­ngan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, walaupun tujuan program Menu Rakyat 1Malaysia diperkenalkan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah tetapi pihaknya tidak terlibat dalam mempromosikan mana-mana perniagaan bersifat komersil.

“Usaha ini amatlah dialu-alukan tetapi kerajaan perlu mengadakan promosi lebih agresif terhadap premis-premis yang menyertainya.

“Fomca hanya dapat memberi nasihat dan pandangan atas kerjasama pengusaha restoran Menu Rakyat 1Malaysia dengan kerajaan untuk menjayakan lagi program ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, rungutan pengusaha yang tidak dapat menanggung kos operasi dan pulangan modal perlu dibincangkan bersama pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan.

“Saya tidak melihat pemberian subsidi dapat membantu kerana ia akan menjadi suatu perniagaan yang tidak berdaya maju dan hanya mengharapkan bantuan semata-mata.

“Pengusaha harus memilih premis yang bersesuaian dengan kadar sewa berpatutan tanpa bergantung kepada mana-mana pihak untuk menampung kos operasi,” katanya.

Muhammad Sha’ani berkata, kerajaan harus menggalakkan PBT untuk menyediakan premis-premis yang bersesuaian dengan kadar berpatutan untuk pengusaha-pengusaha skim ini.

“Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran mewujudkan mewujudkan panduan harga bagi makanan dan minuman berdasarkan sewa premis supaya pengguna mempunyai pilihan terhadap premis harga patut.

“Jika diteliti, gerai juga mengenakan harga sama dengan restoran, walaupun kadar sewa kedua-dua premis jauh berbeza,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma’amor Osman berkata, sesuatu perniagaan makanan yang hendak dijalankan mesti ada perancangan terperinci melibatkan harga makanan dan sewa premis.

“Semua pihak seperti PBT, KPDNKK dan pengusaha harus berbincang untuk mengenakan kadar sewa premis seminimum mungkin bagi mengatasi beban operasi yang ditanggung peniaga.

“PPIM hanya dapat membantu dari segi mempromosikan gerai atau restoran yang terlibat dalam program Menu Rakyat 1Malaysia di dalam ruangan promosi di radio kerana kami mempunyai slotnya,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan harga di luar bandar yang dikatakan naik setelah memperkenalkan menu rakyat 1Malaysia ini, Ma’amor berkata, seharusnya pembeli menilai kuantiti dan bahan yang dimasukkan dalam makanan itu.

“Sebagai pembeli mereka harus bijak menilai tentulah kos di bandar lebih tinggi berbanding luar bandar. Sudah tentu nasi lemaknya sedikit berbanding jumlah di luar bandar.


“PPIM sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mempromosikan premis dan makanan mereka dengan harga berpatutan kerana kami mempunyai waktu siaran klinik pengguna di radio,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...