Wednesday, November 27, 2013

1008) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 25/11/13-Isu ESSCOM penanda aras keselamatan negara



DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

NAMPAKNYA sekali lagi insiden jenayah rentas sempadan yang dipercayai dilakukan oleh warga asing menggoncang kredibiliti pihak berkuasa negara. Meskipun ia seolah-olah insiden terpencil tetapi impaknya kali ini lebih besar kerana melibatkan warga asing yang datang bercuti di pulau peranginan dalam negara kita.

Ada dua fakta yang tidak dapat kita nafikan dalam kejadian tersebut. Fakta pertama, adakah sempadan negara masih mudah dicerobohi dan kepulauan negara kita tidak dapat dijamin kedaulatannya dengan efektif meskipun sudah dilaksanakan langkah-langkah penambah baikan baru-baru ini.

Fakta kedua pula adalah kemampuan pihak risikan mendapat kerjasama orang ramai terutama mereka yang berkepentingan yang mendiami kawasan sekitar pantai perairan yang bersempadan dengan negara jiran.

Dalam ilmu pengurusan ada empat elemen utama digunakan untuk menterjemahkan sistem pengoperasian dan penambah baikan sesuatu gerak kerja. Eleman ini disebut sebagai 4M yang mengandungi Manusia (Man), Wang (Money), Mesin (Machine) dan Pendekatan (Method).

Kita lihat bahawa pihak berkaitan sudah menggerakkan keempat-empat elemen tersebut bagi tujuan berkaitan. Cuma apabila kejadian begini masih berulang maka proses penilaian semula perlu dilaksanakan secara lebih teliti. Sudah tentu ada ada kelemahan di mana-mana yang menyebabkan kejadian yang sama terus berulang.

Faktor utama yang perlu diberikan perhatian paling khusus adalah penglibatan manusia. Kerana tanpa manusia segala 'M' yang lain tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna. Kerana manusia juga boleh melemahkan segala perancangan dan juga proses yang ingin dilaksanakan.

Apakah manusia dan jenis manusia yang bagaimanakah yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan gerak kerja di sana juga mesti diteliti dengan cermat dan khusus.

Kumpulan-kumpulan manusia yang terlibat dalam penilaian teknikal membeli mesin peralatan, yang merancang methodologi dan yang membekalkan keperluan bagi tujuan-tujuan berkenaan malah pembuat keputusan juga adalah rangkaian-rangkaian yang akan menentukan kejayaan program tersebut.

Perkara lain yang juga melibatkan manusia adalah masalah kerjasama daripada operator pelancongan di kawasan terlibat bukan sesuatu yang rahsia lagi. Sikap sombong, bongkak malah enggan memberi laluan kepada anggota keselamatan sudah acap kali di dengar daripada anggota pasukan berkenaan. Jauh sekali memberi keistimewaan kepada mereka dengan sedikit rasa hormat meraikan mereka seperti selayaknya.

Bagi pihak berkenaan, kehadiran pasukan keselamatan negara seolah-olah satu ancaman kepada perniagaan mereka dan kehadiran mereka sememangnya tidak disenangi.

Mungkin fakta ini tidak diberikan perhatian oleh pihak perancang strategi sewaktu melaksanakan proses penambah baikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tempoh hari. Kerana itu, segala pergerakan yang berlaku di tempat-tempat eksklusif berkenaan tidak dapat dipantau dengan cara yang lebih berkesan.

Perkara lain yang mungkin juga terlepas pandang adalah peralatan pengintipan, pengawasan dan pemantauan yang diguna pakai berkemungkinan tidak dinilai oleh penilai teknikal yang berpengalaman sehingga pembelian peralatan sekadar melepas batuk di tangga ataupun hanya daripada syarikat- syarikat tertentu yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan sahaja.

Sedangkan kita tahu bahawa peralatan keselamatan perlukan ciri-ciri khusus dan tidak semestinya dibekalkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Malah sepatutnya ia tidak dilaksanakan melalui tender terbuka dan terdedah spesifikasinya.

Kita melihat dengan jelas kesungguhan kerajaan dalam usaha memperbaiki keadaan termasuk hebahan media menunjukkan pembelian aset-aset keselamatan termasuk bot peronda, tempur dan sebagainya. Tetapi apakah peralatan berkenaan sesuai dalam memberikan perlindungan sewajarnya masih boleh dipertikaikan kerana ia tidak semestinya merupakan pilihan terbaik.

Mungkin pengalaman negara-negara lain dalam usaha mengawal sempadan mereka dengan cara yang lebih berkesan boleh diguna pakai di negara kita sekiranya diberikan peluang kepada beberapa cadangan daripada pembekal lain yang ingin memperkenalkan teknologi terbaru yang mana mungkin lebih efektif dari segi kewangan dan juga kemampuan teknikalnya.

Para pembekal baru ini sepatutnya diberikan peluang sewajarnya bagi mengemukakan cadangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sebenarnya terdapat empat kunci utama yang diberikan perhatian khusus melalui pelaksanaan ESSCOM tempoh hari iaitu pengumpulan maklumat risikan, pengawasan pantai, pencegahan pencerobohan, dan menangkap penceroboh yang mana perlu dilaksanakan dengan menggunakan peralatan yang sesuai dan kos yang efektif.

Mungkin kita fikir bahawa menggunakan bot peronda adalah jalan pintas kerana tidak melibatkan belanja yang tinggi dan berfikir bahawa menggunakan pengawasan udara akan menelan belanja yang lebih besar meskipun lebih berkesan. Perkara sebeginilah kadang kala yang masih membelenggu pembuat keputusan hingga tidak mampu membuka minda dalam menilai sesuatu keputusan.

Akhirnya, hanya berharap kepada sekumpulan kecil pembekal yang menyembunyikan banyak fakta demi kepentingan peribadi yang semua orang arif mengenainya.

Di negara ini mungkin agak asing dengan penggunaan pelbagai pesawat ringan canggih yang mampu melaksanakan pelbagai tugasan sama ada untuk tujuan riadah, pengangkutan, dan tugas-tugas khusus seperti mencari menyelamat, penguatkuasaan dan pemantauan. Pesawat-pesawat seperti Auto Gyro Copter dan Revo Trike adalah antaranya yang sangat canggih, mudah dikendalikan dan kos efektif.

Peralatan kelengkapan untuk pesawat ini pula sangat moden dan bersesuaian untuk tujuan ESSCOM termasuk dengan peralatan Kamera Gimble yang mampu mengesan sehingga pergerakan sekecil biawak dan lebih kecil lagi termasuk yang disorok di tempat-tempat tersembunyi.

Dengan kos yang kurang daripada RM1 juta peralatan-peralatan pakej yang disertakan amat hebat sekiranya dibandingkan dengan pembelian peralatan demi kegunaan yang serupa di ESSCOM ketika ini. Pesawat ini juga boleh membawa peralatan persenjataan dan juga dilengkapi dengan ciri-ciri mudah dikemudi dan diselenggara serta tidak memerlukan latihan khusus yang lama untuk melakukan operasinya.

Malah kita tidak dapat menafikan bahawa pengawasan udara sangat efektif jika dibandingkan dengan pengawasan laut dan darat disebabkan pandangan dari udara lebih jelas dan luas. Malahan ia tidak tersekat dengan percikan air atau mudah dikesan oleh penceroboh. Kerana itu, sesuatu mesti dilakukan melalui tinjauan pengawasan udara supaya dapat memastikan perairan negara kita tidak menjadi padang permainan musuh, penyeludup dan juga pendatang asing sewenang-wenangnya.

Insiden-insiden mutakhir ini memberikan kesan sangat buruk terhadap imej dan kedaulatan negara kita di mata dunia. Pada masa yang sama mewujudkan rasa tidak selamat dan marah rakyat kita terhadap pemerintah yang difikir tidak mengambil langkah yang sewajarnya menjamin keselamatan mereka.

Rasanya, kata-kata sahaja tidak lagi memadai, Jaminan sahaja tidak akan dihiraukan. Apa yang rakyat negara ini perlukan adalah tindakan dan bukti nyata bahawa kita sudah memulihkan situasi semasa ke tahap terbaik lebih daripada yang sebelumnya.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...