Tuesday, November 5, 2013

936) UTUSAN MALAYSIA 12/10/13-Rakyat dipaksa bayar lebih



Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@ututsan.com.my

KOTA BHARU 11 Okt. - Alasan kerajaan Pas Kelantan menaikkan tarif air sangat tidak relevan berbanding mutu perkhidmatan yang disalurkan kepada pengguna.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, alasan tersebut tidak ada justifikasi bagi rakyat dengan sebahagian besarnya masih menerima bekalan air berkualiti rendah dan tidak konsisten.

"Alasan itu mungkin boleh dianggap munasabah sekiranya pengguna sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik daripada agensi pembekalan air negeri ini, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

"Apa yang berlaku, rakyat terus dibelenggu masalah bekalan air. Bahkan, ada di antara mereka dikatakan terpaksa membayar caj bil yang tinggi sedangkan penggunaannya tidak seberapa disebabkan air kotor, tekanan rendah, kadang-kadang tiada langsung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini dilaporkan telah melakukan pelarasan tarif air melibatkan kenaikan melebihi 30 peratus bagi menampung kos operasi Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Meskipun kenaikan itu mendapat rungutan banyak pihak, namun kerajaan negeri masih beranggapan kenaikan tersebut terlalu minimum.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad berkata, kenaikan tersebut adalah adil kepada kerajaan setelah beberapa tahun menangguhkannya kerana tidak mahu membebankan pengguna.

Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyedari masalah bekalan air yang tidak pernah selesai dan terus membelenggu rakyat sebelum melakukan sesuatu pelarasan tidak membebankan mana-mana pihak.

Isu air Kelantan melakar episod baharu apabila bekas Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa mendakwa AKSB gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf.

Beliau mengambil contoh loji rawatan air Pintu Geng melibatkan kos RM52 juta dengan sasaran pengeluaran air sebanyak 30 juta liter sehari, namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 juta liter sehari.

AKSB turut membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini untuk mengurangkan kebocoran air, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, sekali gus menunjukkan kegagalan projek tersebut.



Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20131012/wt_01/Rakyat-dipaksa-bayar-lebih#ixzz2jl48e55J © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...