Tuesday, November 5, 2013

938) UTUSAN MALAYSIA 19/10/13-Tambang baharu teksi diumum awal 2014



KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kadar tambang teksi yang baharu akan diumumkan pada suku pertama tahun depan selepas pelbagai perkara diteliti oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kadar baharu itu akan mengambil kira kos utiliti, penyelenggaraan dan kos lain yang ditanggung oleh syarikat dan pemandu teksi.

Menurutnya, sejajar dengan tambang baharu itu nanti, pengusaha dan pemandu teksi perlu memberi khidmat terbaik serta setimpal dengan kadar yang dikenakan.

''Kadar tambang baharu akan diketahui awal tahun hadapan, berkemungkinan akan berlaku kenaikan tetapi tidak membebankan pengguna," katanya selepas Majlis Pelancaran Program Interaksi Bersama Pengguna, Industri Teksi dan SPAD - Kajian Kadar Tambang Teksi di sini hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan SPAD sedang mengkaji semula kadar tambang teksi dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup pemandu teksi dan menambah baik mutu perkhidmatan teksi.

Najib berkata, langkah itu perlu antara lain berikutan peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung pemandu teksi.

Dalam pada itu Syed Hamid berkata, program interaksi yang dilancarkan itu bertujuan mendapatkan maklum balas sebelum kadar tambang baharu tersebut diputuskan.

Bagaimanapun, katanya, program interaksi kali ini dilihat lebih menyeluruh kerana melibatkan semua peringkat industri teksi iaitu daripada pengguna, penguat kuasa, pengusaha dan pemandu teksi.

''Kita memberi masa 10 minggu dan berkemungkinan resolusi daripada program interaksi ini akan menghasilkan kertas kerja mengenai kadar tambang baharu," katanya.

Mengulas gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya suruhanjaya itu memantau perjanjian sewa beli teksi yang disifatkan terlalu menindas golongan pemandu teksi di negara ini, Syed Hamid berkata, perkara itu di luar bidang kuasa SPAD.

Namun, katanya, SPAD telah menjalankan kajian mengenai rungutan dan aduan yang diterima daripada pemandu yang berasa ditindas oleh syarikat pengusaha teksi.

''Kita sentiasa memantau perkara ini. Apabila kita membuka hasil laporan kita, setiap pemandu teksi mempunyai cerita tersendiri. Ada yang berpuas hati dengan perjanjian itu dan ada yang tidak," katanya.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131019/dn_15/Tambang-baharu-teksi-diumum-awal-2014#ixzz2jl8oVW5N © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...