Wednesday, November 6, 2013

967) HARIAN METRO 4/11/13- Kutip hutang guna nama jabatan 'hantu'



Kuala Lumpur: Mengaku sebagai jabatan kerajaan tapi sebenarnya sebuah syarikat di sini yang didalangi seorang bergelar haji, menyamar menggunakan nama Jabatan Undang-Undang Kuala Lumpur untuk mengutip bayaran bagi pihak orang ketiga dengan mengenakan caj sesuka hati.

Bukan itu saja, mereka turut mengaku mempunyai saluran tertentu dengan agensi kerajaan termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta mahkamah bagi meyakinkan individu yang kononnya termasuk dalam senarai hitam dan boleh dihadapkan ke mahkamah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, dalam aduan terbaru, seorang pengadu mendakwa memerlukan bantuan segera atau berdepan kemungkinan dihadapkan ke mahkamah selepas menerima panggilan telefon daripada pegawai sebuah jabatan memintanya membuat bayaran bagi barangan yang dibeli daripada satu syarikat bernilai RM7,000.

"Dalam perbualan itu, pemanggil berkenaan memaklumkan bayaran RM7,000 perlu dibuat dengan segera dan jika tidak, pengadu akan dihadapkan ke mahkamah.

"Berdasarkan pemerhatian sekretariat PPIM, jabatan dimaksudkan itu bukan agensi kerajaan, sebaliknya syarikat menjalankan khidmat mengutip hutang yang beroperasi di ibu negara," katanya di sini, semalam.

Nadzim berkata, pada pintu masuk pejabat syarikat itu, ada papan tanda bertulis Jabatan Undang-Undang Kuala Lumpur dan pejabat berkenaan terletak dalam kawasan perniagaan komersial.

"Jabatan itu juga memang tidak wujud sebagai jabatan dalam agensi kerajaan dan ia jelas penipuan terancang.

"Kami juga memantau beberapa aduan sama daripada pengadu lain secara dalam talian dan mendapati lebih 30 orang berdepan situasi sama. Jika diikutkan, mereka ini (syarikat berkenaan) mendapat untung berlipat ganda dengan jumlah keseluruhan dianggar ratusan ribu ringgit.


"Mereka ini sebenarnya pengutip hutang dan kami tidak menolak kemungkinan dilakukan oleh mereka yang tahu undang-undang," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...