Tuesday, November 5, 2013

940) UTUSAN MALAYSIA 25/10/13-Bajet 2014: Tumpu tingkat taraf hidup rakyat



KUALA LUMPUR 24 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna menyarankan kerajaan supaya menumpukan perhatian terhadap kesan penyelarasan subsidi serta meningkatkan taraf hidup rakyat dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam Bajet 2014.

Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, penekanan terhadap peningkatan kos sara hidup memang diharapkan pihak NGO pengguna terutamanya dalam memastikan kesan penyelarasan subsidi supaya berada pada tahap minimum.

Menurutnya, kerajaan telah memberi banyak inisiatif kepada rakyat tetapi adalah lebih baik jika perkara itu memberi manfaat berterusan bagi mengurangkan kos sara hidup.

"Sebagai contoh, kerajaan boleh menambah dan memperluaskan lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia ke kawasan bandar mahupun luar bandar kerana manfaat yang berterusan dapat diperoleh pengguna.

''Ini kerana pengguna agak terkesan dengan beberapa penyelarasan subsidi yang membabitkan kenaikan harga barang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar melaporkan bahawa kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada langkah-langkah untuk menangani peningkatan kos sara hidup melalui Bajet 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen esok.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menyarankan agar isu kenaikan gaji penguat kuasa undang-undang, khususnya pegawai polis dikaji semula kerana gaji minimum mereka masih di bawah paras miskin bandar.

"Gaji minimum sebanyak RM1,300 tidak lagi relevan pada masa kini terutamanya bagi yang bekerja di bandar dan terpaksa menyara hidup keluarga. Mereka juga terpaksa bekerja sambilan untuk memperoleh pendapatan lebih baik.

"Apabila dilihat kembali, perkara ini boleh menjejaskan karier mereka sebagai penguat kuasa undang-undang dan secara tidak langsung institusi kerajaan turut terjejas kerana pekerjanya tidak menepati kualiti diperlukan," katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya menyarankan supaya kerajaan memberikan tumpuan dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini.

"LPKPM menyarankan agar kerajaan dapat mengambil tindakan drastik dengan menghapuskan cukai pendapatan yang dikenakan terhadap mereka yang berpendapatan sederhana.

"Pemansuhan cukai pendapatan ini sedikit-sebanyak dapat membantu golongan tersebut berjimat cermat, sekali gus boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan lain," katanya.

Selain itu, jelasnya, bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, perbelanjaan harian yang ditanggung amat tinggi sedangkan gaji kecil, menyebabkan golongan itu sukar menyimpan wang untuk masa hadapan.

"Oleh itu, kerajaan turut disaran memberikan subsidi tambahan terhadap barangan harian seperti gandum, gula dan minyak masak dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan harian yang ditanggung,'' ujar beliau.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...