Tuesday, November 5, 2013

942) UTUSAN MALAYSIA 27/10/13-Setuju subsidi gula dimansuh



KUALA LUMPUR 26 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna menyifatkan tindakan kerajaan memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen adalah tepat dan bersesuaian memandangkan kesedaran masyarakat tentang bahaya gula berlebihan masih rendah.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, langkah ini bertepatan jika melihat tahap kesihatan rakyat negara yang menunjukkan antara penghidap diabetes tertinggi.

"Walaupun pemansuhan subsidi menyebabkan kenaikan harga gula, namun secara tidak langsung langkah itu akan mendidik pengguna supaya mengawal atau mengurangkan pengambilan gula dalam minuman dan makanan.

"Pendekatan yang dilaksanakan kerajaan sebenarnya bukan untuk membebankan tetapi menyedarkan masyarakat tentang bahaya penggunaan gula berlebihan terhadap kesihatan mereka," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas tentang tindakan kerajaan memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen berkuat kuasa hari ini bagi menyejahterakan kesihatan rakyat.

Tambah Saharuddin, pengguna tidak perlu bimbang sekiranya pemansuhan subsidi akan membebankan mereka memandangkan kerajaan telah menambah nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Peningkatan jumlah agihan BR1M ini menunjukkan keprihatinan kerajaan rakyat memandangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat. Langkah ini sedikit-sebanyak mengurangkan beban pengguna dalam berbelanja," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pemansuhan subsidi gula memberi mesej kepada masyarakat bahawa kesihatan adalah paling utama dalam kehidupan seharian.

"Seperti yang diketahui, gula merupakan punca penyakit diabetes yang melanda rakyat di negara ini. Kita boleh mati kerana gula, namun tanpa gula kita masih boleh hidup.

"Justeru, saya menyokong tindakan kerajaan memansuhkan subsidi demi memastikan rakyat mengutamakan kesihatan dengan mengurangkan pengambilan gula," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George melihat langkah pemansuhan adalah untuk menyedarkan pengguna sekiranya penggunaan gula tidak dikawal.

"Kita tidak mahu generasi akan datang menghidap penyakit berkaitan dengan gula, jadi pengurangan subsidi tersebut dapat mendisiplinkan diri dan mengawal pengambilan gula.

"Abaikan provokasi yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mempersoalkan pengurangan subsidi ini kerana banyak lagi perkara mustahak perlu diambil dan bukannya pengurangan subsidi gula dijadikan isu hangat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131027/dn_10/Setuju-subsidi-gula-dimansuh#ixzz2jlHLgYif  © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...