Wednesday, November 27, 2013

997) UTUSAN MALAYSIA 24/11/13-Pasukan khas siasat dakwaan soalan SPM bocor


KOTA KINABALU 23 Nov. - Kementerian Pendidikan akan menubuhkan satu pasukan khas dalam masa terdekat bagi menyiasat dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kebocoran soalan beberapa mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud yang memandang serius dakwaan itu yang turut menjejaskan kredibiliti pihaknya, bagaimanapun berkata, secara teorinya kebocoran itu mustahil berlaku kerana selain proses percetakannya dilakukan di luar negara, kawalan ketat juga dilakukan semasa penghantarannya ke setiap pusat peperiksaan.

Jelas beliau, setiap kertas soalan SPM dicetak di Universiti Cambridge, United Kingdom berbanding kertas soalan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dicetak di negara ini.

Prosedur penghantaran kertas soalan tersebut juga dikawal ketat bermula dari Universiti Cambridge hingga ke pusat peperiksaan di negara ini dengan bantuan kawalan pihak polis," katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan dalam Program Jurulatih Peningkatan Sekolah (SISC) dan Program Rakan Pembimbing Sekolah (SiPatner) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan PPIM bahawa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan SPM tahun ini bocor yang maklumatnya dikatakan diperoleh daripada beberapa pelajar sekolah di Seksyen 5, Wangsa Maju pada 19 November lalu selepas mengikuti seminar SPM di sebuah masjid di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Tambah Abdul Ghafar, pihaknya tidak akan sesekali menganggap laporan PPIM itu sebagai kes terpencil tetapi sebaliknya akan menyiasat perkara tersebut dengan terperinci.

Kalau hendak dikatakan masa pencetakan itu bocor (mustahil) dan perkara sebegini sudah lama tidak berlaku dengan paling terakhir adalah pada akhir tahun 1990-an, namun apabila disiasat tiada kebocoran sebenarnya yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Lembaga Peperiksaan memulakan siasatan terhadap dakwaan berlaku kebocoran soalan SPM yang didakwa membabitkan kertas Matematik dan Matematik Tambahan.


Pihak kami telah menerima aduan tentang dakwaan kebocoran kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan SPM serta telah memulakan siasatan bagi memastikan kesahihan perkara tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...