Tuesday, November 5, 2013

944) HARIAN METRO 28/10/13-Mastura kini OK


Kuala Lumpur: "Saya OK". Itu reaksi ringkas Mastura, pengantin baru yang mengelar tangannya sebagai jalan terakhir selepas berdepan dengan tekanan diburu along yang ingin meminta hutang puluhan kali ganda daripada pinjaman sebenar.

Dia yang ditemui ketika mengadakan perbincangan bersama Pegawai Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam kelihatan lemah dan dibantu ahli keluarga yang ingin menyelesaikan kes berkenaan dengan kadar segera.

Mastura yang dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya Rabu lalu kini berehat dan dalam proses menenangkan fikiran selepas tindakan yang hampir meragut nyawanya hanya kerana terbeban untuk melangsaikan hutang RM1,000 kepada ceti haram.

Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM Yati Saharudin berkata, pihaknya menghubungi sebahagian daripada 20 along berurusan dengan Mastura termasuk mereka yang memasukkan wang ke dalam akaun tanpa diketahui untuk menjadualkan semula pembayaran.

"Ketika ini semuanya berjalan lancar. Keluarga Mastura juga memberi kerjasama yang begitu baik kerana mereka ingin selesaikan perkara ini dengan cepat.

"Mastura juga ceritakan segala-galanya kepada ibu bapa dan meminta maaf dengan apa yang berlaku, cuma buat masa ini dia perlukan masa untuk berehat serta tidak mahu diganggu. PPIM akan bantu selesaikan kes ini dan berharap ia tidak berlaku lagi kepada orang lain," katanya.

Muka depan Metro Ahad semalam, melaporkan Mastura yang meminjam wang berkenaan untuk urusan perkahwinannya bertindak mengelar tangannya menggunakan pisau sebagai cubaan bunuh diri akibat tidak mampu menanggung tekanan.

Dalam kejadian Isnin lalu, dia bertindak demikian dalam sebuah bilik di rumah di Putrajaya sebelum disedari ahli keluarga sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya merujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Ab Razak Ab Ghani untuk tindakan susulan.


"Kami harap ia menjadi pengajaran kepada sesiapa saja. Sebelum ini, kita biasa dengar kes hilang rumah, kereta dan harta benda lain kerana nak melunaskan hutang. Kali ini babitkan nyawa, jadi kami minta tindakan tegas diambil kepada mereka yang terbabit," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...