Friday, November 29, 2013

1013) HARIAN METRO 29/11/2013 - PINJAM RM500 BUNGA 200 PERATUS






Headline: Pinjam RM500, bunga 200 peratus
Publication: HM
Date of publication: Nov 29, 2013
Section heading: Majalah Metro
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


SUMBER kewangan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup dan masalah perniagaan merudum menjadi faktor utama ramai yang membuat pinjaman daripada along tanpa memikirkan risikonya.

Ramai juga peminjam bermasalah kerana taraf kehidupan yang tinggi sekali gus memaksa mereka membuat pinjaman untuk membeli keperluan harian.

Selain itu, ada juga ahli perniagaan yang kebiasaannya memperoleh keuntungan besar secara tiba-tiba mengalami kerugian akibat pelbagai cabaran berniaga.

Perkara itu diakui Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang memberitahu, kebanyakan mangsa along adalah golongan peniaga dan individu bergaji kecil.

Taraf hidup yang tinggi di bandar memaksa mereka membuat pinjaman walaupun mengetahui kesannya apabila diburu dan diganggu tanpa henti.

"Banyak kes kami terima daripada kalangan peniaga yang membuat pinjaman sekitar RM500 sehingga puluhan ribu ringgit tetapi mereka dikenakan kadar bunga sehingga 200 peratus.

"Jumlah yang perlu dibayar mencecah ribuan ringgit sehingga tujuh juta bagi pinjaman RM500,000. Walaupun ia tidak munasabah, kadar itu perlu dibayar peminjam bagi mengelak diburu," katanya.

Beliau berkata, statistik bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini menunjukkan kirakira 9,000 aduan diterima pihaknya daripada mereka yang diburu along.

Setiap hari empat pejabat PPIM iaitu dua di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Kedah dan Kelantan menerima sekurang-kurangnya 30 aduan.

Kebanyakan pengadu terdiri daripada golongan peniaga dan berpendapatan rendah yang hanya membuat pinjaman RM500. "Walaupun hanya meminjam RM500, mereka perlu membayar sebanyak 200 peratus yang menjadikan jumlah sebenar mencecah ribuan ringgit.

"Bagi golongan susah, mereka tidak mampu untuk membayar hutang itu. Ini menyebabkan along pula berpakat dengan kawan mereka dengan memperkenalkan peminjam kepada along lain semata-mata mahu membayar hutang along pertama.

"Terdesak dengan gangguan along, peminjam tidak dapat berfikir panjang apabila terus membuat pinjaman daripada along lain untuk membayar hutang berkenaan," katanya.

Sikap suka meminjam itu menjadikan jumlah pinjaman bertambah dan kadar bunga yang lebih tinggi dikenakan.

Ada antaranya membuat pinjaman daripada lebih 10 along sekali gus menyebabkan kehidupan mereka sering berada dalam ketakutan.

Along sanggup melakukan apa saja dengan memburu peminjam di pejabat dan rumah, malah mengedarkan gambar peminjam di setiap kawasan bagi memaklumkan kepada along lain supaya turut mengambil tindakan kejam sekiranya ternampak individu itu.

Menurut Nadzim, taktik terbaru along adalah menghubungi individu tidak dikenali dan menawarkan pinjaman dalam jumlah sehingga ribuan ringgit.

"Mereka memberi pinjaman mudah kerana hanya perlu memberi salinan kad pengenalan dan nombor akaun bank sebelum sejumlah wang dimasukkan.

"Selepas memasukkan wang itu, along mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Pada awalnya dia memberi jumlah pinjaman kecil, namun melihat kemampuan yang ada pada peminjam mereka akan menawarkan jumlah lebih besar.

"Bukan itu saja, mereka akan memperkenalkan peminjam kepada along lain dan memberi nombor akaun sebelum sejumlah wang dimasukkan," katanya menambah, along kebiasaannya akan memaksa individu supaya menerima pinjaman itu.

Ada antaranya tidak mahu meminjam daripada along, tetapi dipaksa menerima wang itu sebelum sekali lagi dihubungi supaya membayar dalam jumlah ditetapkan.

Sekiranya tidak mematuhi syarat itu, along menghubungi dan mengugut mangsa akan menghantar `orang' untuk mengganggu dan memukul peminjam.

Insiden sedemikian perlu dijauhi kerana ia akan memerangkap diri seterusnya terbabit dalam hutang along yang tiada berkesudahan.

Walaupun terdesak, masyarakat seharusnya tahu bahaya membuat pinjaman daripada along kerana adakalanya bukan saja kehidupan tidak selamat malah boleh membawa maut.

"Saya minta institusi kewangan seperti bank membantu masyarakat yang mempunyai masalah kewangan dengan memberi pinjaman minimum kepada mereka.

"Kebanyakan institusi kewangan mengenakan syarat ketat dan menolak permohonan individu yang mahu membuat pinjaman walaupun dalam jumlah yang kecil.

"Mereka perlu faham masalah dihadapi masyarakat terutama yang tinggal di bandar besar yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi saban hari," katanya.

Ada juga kalangan peminjam along buntu apabila diburu dan sanggup melakukan sesuatu di luar dugaan termasuk membunuh diri dan membuat kerja tidak sepatutnya.


Katanya, untuk terjebak dengan along memang mudah kerana mereka menawarkan pinjaman dalam jumlah kecil sebanyak RM500 kepada jumlah lebih besar walaupun mengetahui individu itu tidak mampu membayar dalam masa ditetapkan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...