Friday, November 15, 2013

987) HARIAN METRO 14/11/13-Dibelasah pengarah syarikat


Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling; Nur Hamizah Abd Kadir
  
Kuala Lumpur: "Saya bukan saja ditampar, malah dicekik, disepak dan dipijak sebanyak lima kali oleh enam kakitangan syarikat berkenaan.

"Ia berpunca daripada tindakan saya mahu membocorkan maklumat penyelewengan syarikat berkenaan yang terbukti menipu rakan kongsi selepas akauntan sendiri mendedahkan maklumat yang ada di dalam simpanan," kata salah seorang bekas pekerja syarikat sewa kenderaan yang mendakwa dipukul kakitangan syarikat sehingga menyebabkan kecederaan.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Shahrul, 19, berkata, kejadian bermula apabila dia masuk ke pejabat berkenaan selepas dipanggil kakitangan syarikat ketika sedang makan di gerai makan berhampiran.

"Mereka beri alasan ingin menyuruh saya menandatangani satu surat perjanjian berkenaan dengan notis berhenti kerja yang saya serahkan beberapa hari sebelum itu.

"Tetapi kemudian mereka mula menyoal saya macam-macam sebelum bertindak memukul saya," katanya yang bekerja di situ sejak enam bulan lalu

Katanya, dia ditampar pengarah syarikat terbabit selepas enggan bekerjasama sebelum dicekik dan disepak kakitangan lain termasuk suaminya yang juga pengurus di situ.

"Selepas saya jatuh ke lantai, mereka terus memijak saya berkali-kali sebelum seorang lagi rakan datang untuk menarik saya keluar," katanya.

Menurut Shahrul, dia disoal berulang kali oleh kakitangan berkenaan dan mereka bertindak demikian kerana takut semua penipuan serta penyelewengan syarikat didedahkan kepada umum.

"Saya ada semua bukti membabitkan penipuan mereka. Sebab itu mereka pukul saya dengan teruk untuk mengelakkan rahsia mereka terbongkar," katanya.

Bagaimanapun, Shahrul menegaskan, kejadian berkenaan tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk mendedahkan penipuan dan penyelewengan membabitkan dia dan 16 orang rakan lain seperti yang disiarkan akhbar ini, semalam.

Kelmarin, dia bersama rakan kongsi lain mengadu kes mereka ditipu pengarah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sewa kenderaan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...