Tuesday, November 5, 2013

945) RAKYAT NEWS 23/10/13-SPNB Harap Bina lebih Banyak Rumah Mampu Milik



KUALA LUMPUR 23 Okt - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berharap kerajaan memberi peluang kepada SPNB membina lebih banyak rumah mampu milik berharga bawah RM250,000 untuk golongan muda dalam Bajet 2014.
  
Presiden SPNB Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, SPNB menerima banyak permintaan daripada rakyat yang memerlukan rumah mengikut kemampuan kewangan mereka.
   
"SPNB menyasarkan membina 100,000 hingga 200,000 rumah mampu milik di seluruh negara mulai tahun depan.
   
"Bagaimanapun sudah tentu fokus kita adalah membina rumah mampu milik di luar bandar yang mana kami yakin permintaan semakin meningkat," katanya kepada pemberita selepas menyertai program 'Ruang Bicara' Bernama TV semalam.
   
Program bertajuk 'Bajet 2014: Kemiskinan Bandar' itu dihoskan Dahlan Maamor dan turut disertai Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Sohaimi Shahadan serta Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Datuk Nadzim Johan.
   
Mengenai kemerosotan penawaran rumah mampu milik, Kamarul berkata berikutan kegawatan ekonomi 1998, pemaju perumahan mengambil langkah berhati-hati sehingga menyebabkan sektor itu mengalami kelembapan.
   
"Faktor migrasi penduduk, terutama golongan muda ke bandar juga menyebabkan harga rumah meningkat," katanya.
   
Beliau menambah, SPNB akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membangunkan semula pangsapuri atau rumah-rumah lama untuk dijadikan bilik berharga murah bagi golongan bujang.
   
Katanya bilik-bilik berkenaan akan dijual dalam lingkungan harga RM5,000-RM10,000 bergantung kepada kemudahan yang disediakan di tempat kediaman terbabit.

"Usaha ini dapat menangani kos hidup golongan itu yang baru memulakan kerjaya di kawasan bandar," ujarnya

Sumber: http://www.rakyatnews.my/index.php/2013102399392/ekonomi/spnb-harap-bina-lebih-banyak-rumah-mampu-milik

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...