Thursday, November 7, 2013

974) UTUSAN MALAYSIA 6/11/13-GLC gagal perkasa Melayu


Oleh SYUKRI SHAARI pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pengerusi-pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dibidas kerana didakwa 'gagal' mencapai matlamat membantu syarikat serta usahawan Melayu dan bumiputera memperkasakan kedudukan ekonomi kaum majoriti itu.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, sehingga ke hari ini, GLC masih tidak berjaya memainkan peranan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu golongan tersebut yang hanya mencapai sekitar 11 peratus.

Katanya, sebagai organisasi yang mendapat suntikan daripada kerajaan, GLC sewajarnya memberi perhatian lebih kepada usaha membangunkan ekonomi orang Melayu serta bumiputera, tetapi malangnya kerangka itu tidak berlaku pada hari ini.

"Setakat ini, kita lihat GLC gagal memainkan peranan tersebut. Penglibatan GLC hanya mencatatkan peningkatan tujuh peratus sahaja penglibatan Melayu dan bumiputera yang sasaran sepatutnya ialah 30 peratus.

"Perkembangan ekonomi orang Melayu masih di takuk lama, tiada perubahan. Pengerusi-pengerusi GLC sewajarnya bersikap lebih produktif, bantu orang Melayu dan bumiputera, sampai bila golongan ini hanya mempunyai kuasa membeli sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak kebelakangan ini termasuklah Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa GLC kurang memberi perhatian kepada syarikat serta pekerja berketurunan Melayu.

Malah, banyak juga pihak termasuk ahli akademik iaitu pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff menempelak peranan GLC yang tidak mengutamakan akhbar Melayu dalam memberi iklan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula memberitahu, isu membabitkan keprihatinan GLC terhadap syarikat-syarikat Melayu termasuk dalam industri persuratkhabaran sudah lama timbul.

Kata beliau, malangnya sehingga ke hari ini masalah itu seolah-olah tidak dipandang oleh GLC dan tiada inisiatif dilaksanakan untuk 'memperbetulkan' situasi berkenaan.

"Kita faham, GLC perlu dilihat memenuhi piawaian yang tinggi bertaraf antarabangsa, tetapi itu bukannya tiket untuk mereka mengabaikan agenda memperkasa ekonomi syarikat-syarikat Melayu termasuklah akhbar-akhbar berbahasa Melayu.

"Apabila kita bangkit isu ini, kita dikritik. Apabila akhbar seperti Utusan Malaysia menegur perkara ini, akhbar itu dihentam tetapi itulah situasinya pada hari ini, GLC dilihat gagal membantu syarikat, usahawan, orang Melayu serta bumiputera," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Mohamed Maliki meminta kerajaan meneliti terlebih dahulu latar belakang individu yang mahu dilantik menerajui sesebuah GLC bagi memastikan kepentingan ekonomi orang Melayu sentiasa menjadi agenda.

"Pilih calon yang cenderung serta mempunyai jati diri untuk membantu bangsa sendiri, khusus dalam aspek pembangunan ekonomi. Saya bukan mahu bersikap cauvinis, tetapi dalam hal ini kita telah jauh ketinggalan, kalau bukan bangsa sendiri yang membantu, siapa lagi?" ujar beliau.
  

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131106/dn_16/GLC-gagal-perkasa-Melayu#ixzz2jwGOr6bB © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...