Tuesday, November 12, 2013

980) Berita Harian 8/11/13-Pembabitan awam dalam kajian semula tambang teksi


Pelancaran Program Interaksi Bersama Pengguna dan Industri Teksi - Kajian Kadar Tambang Teksi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 18 Oktober lalu dilihat berupaya membawa perubahan lebih positif dalam industri teksi di Malaysia berdasarkan pendekatan pembabitan pihak awam dan pihak berkepentingan secara holistik yang diambil organisasi itu.

Sebelum SPAD ditubuhkan, kajian kali terakhir kadar tambang teksi pada 2009 hanya terhad pada peringkat pihak berkuasa dan industri teksi saja.

Usaha julung kali dilaksanakan SPAD ini cuba mengetengahkan pendekatan berlainan dengan matlamat memastikan kadar bagi tambang teksi akan memberi kepuasan dan pulangan bermanfaat kepada semua pihak.

Pembabitan pengguna

Pada hari pelancaran oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar itu, tiga perbincangan fokus diadakan bersama kumpulan mewakili pengguna, syarikat operator teksi dan pemandu teksi dari seluruh Lembah Klang.

Sejak itu, perbincangan bersama pihak awam dan pihak berkepentingan lain telahpun diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru. Sesi taklimat pula telah diadakan di Melaka dan Ipoh.

Antara yang tampil menyertai perbincangan berkenaan termasuk wakil Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA); Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP); Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU); Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB); Koperasi OKU Pulau Pinang Berhad; Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA); Pusat Penyelidikan Pengangkutan Bandar Mapan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUTRA UKM) dan Institut Pengangkutan Malaysia Universiti Teknologi MARA (MITRANS UiTM).

Penambahbaikan mutu perkhidmatan

Ternyata hasil perbincangan membawa kepada persetujuan bahawa pelaksanaan kajian semula kadar tambang teksi adalah tepat pada masanya dengan kos operasi sedia ada yang semakin tinggi dan terdapat keperluan untuk menampung penambahbaikan sistem pada masa hadapan.

Antara inisiatif bagi membangunkan sistem teksi kelas dunia di Malaysia termasuk khidmat bermutu melalui teknologi. Penggunaan sistem navigasi, penempahan atas talian dan bayaran bukan tunai adalah antara contoh penambahbaikan dalam Pelan Transformasi Industri Teksi SPAD.

Kajian semula kadar tambang teksi juga dilihat sebagai peluang bagi industri teksi mula menangani isu-isu meningkatkan mutu keseluruhan perkhidmatan yang ditawarkan. Kadar tidak boleh terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna atau terlalu rendah sehingga mengehadkan pertumbuhan industri teksi.

SPAD telah meletakkan dua kriteria bagi kadar tambang teksi negara ini. Pertama, tambang yang dikenakan perlulah bersesuaian dengan kos sebenar operasi yang ditanggung dalam menawarkan perkhidmatan terbaik bagi pengguna. Kos operasi ini termasuk kos bahan api bagi petrol dan gas asli mampat (CNG), kos kenderaan, kos buruh dan lain-lain.

Prinsip operasi lebih praktikal

Kedua, kadar tambang itu seharusnya mampu memberi motivasi kepada prinsip operasi di kalangan pengusaha dan pemandu teksi yang lebih praktikal dan rasional. Dalam erti kata mudah, ia antaranya menjadikan pemandu tidak 'berkira' untuk berkhidmat ketika waktu puncak dan sentiasa menggunakan meter tanpa alasan.

Proses interaksi SPAD akan dilakukan dalam tiga peringkat iaitu mendengar, menambah baik dan memaklumkan. Bagi peringkat mendengar, program interaksi ini akan diteruskan dengan satu lagi perbincangan kumpulan fokus di Kuala Terengganu dan sesi taklimat di sekitar Semenanjung meliputi Alor Setar (Kedah), Langkawi (Kedah), Kota Bharu (Kelantan), Kuantan (Pahang) dan Temerloh (Pahang).

Sementara itu, galeri paparan awam ditempatkan di 35 lokasi termasuk di pejabat cawangan SPAD, terminal pengangkutan awam dan kompleks beli-belah yang membolehkan orang ramai memperoleh maklumat mengenai kaedah dan proses kajian teksi serta mengemukakan maklum balas mereka berkaitannya.

Kertas Interaksi Kajian Tambang Teksi boleh dimuat turun di www.spad.gov.my/tfr2013. Selain melalui laman sesawang SPAD, maklum balas juga boleh disalurkan menerusi pos, menghubungi talian 1-800-22-7723 atau melayari laman sosial Facebook atau Twitter SPAD.

Setelah mendapat maklum balas dari pihak awam dan pihak berkepentingan, peringkat penambahbaikan program interaksi SPAD ini pula akan memperhalusi cadangan penyelesaian untuk dipertimbangkan dalam kajian kadar tambang teksi. Sebagai susulan, perjumpaan satu dengan satu dan perbincangan kumpulan kecil pula akan dibuat.

Pelaksanaan hapus pandangan negatif

"Sebagai pemandu, sudah tentu saya menyokong kajian kadar tambang teksi dilakukan memandangkan harga minyak, tayar, alat ganti dan sebagainya sudah lama naik. Namun SPAD perlulah memberi tumpuan kepada kenaikan yang berpatutan dan tidak menakutkan pengguna," demikan kata wakil Persatuan Pemandu Kereta Sewa Shah Alam, Yazid Mohamad Yusof mengenai kajian kadar tambang teksi yang sedang dilaksanakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ketika ini.

Beliau menyifatkan tindakan SPAD mengambil kira pandangan orang ramai sebagai wajar kerana dapat juga menyelesaikan sebarang isu negatif membabitkan perkhidmatan teksi.

Ubah persepsi

Yazid tidak menafikan kewujudan masalah di kalangan pemandu teksi sendiri, khususnya mereka yang memonopoli kawasan, tidak berdisiplin dan tidak berhemah. Disebabkan ini, beliau berharap kursus dapat dianjurkan untuk setiap pemandu supaya mereka faham tugas sebagai pemandu teksi serta mengikut undang-undang.

Wakil Persatuan Pemandu Teksi KL Sentral, Shamsuddin Jamaluddin, pula berpendapat bahawa pendekatan yang diambil SPAD sebelum mengkaji semula kadar tambang teksi adalah telus kerana membabitkan pemandu, persatuan, operator dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Bagi menambah baik perkhidmatan teksi sedia ada, beliau juga mencadangkan had kawasan operasi diperluas dan tidak lagi terhad kepada lokasi-lokasi yang tertentu saja.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...