Friday, November 29, 2013

1011) BERITA HARIAN 28/11/2013 - BEKAS MENTERI BESAR SELAR TNDAKAN KHALID



Headline: Bekas Menteri Besar selar tindakan Khalid
Publication: BH
Date of publication: Nov 28, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Rafidah Mat Ruzki; Haspaizi Mohd Zain


Shah Alam: Tidak wajar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membenarkan kenaikan gaji dan elaun bulanan Menteri Besar, EXCO kerajaan negeri dan Ahli Undangan Negeri (ADUN), kata bekas Menteri Besar, Tan Sri Abu Hassan Omar.

Beliau tidak melihat rasional keputusan DUN Selangor meluluskan kenaikan gaji itu semalam kerana kerajaan pakatan pembangkang belum mampu mengagihkan kekayaan ke seluruh negeri dan masih ada kawasan belum dimajukan sepenuhnya serta ramai rakyat masih menderita.

Perlu ada kewajarannya

"Sebarang kenaikan gaji dan elaun perlu ada kewajarannya. Ketika saya mentadbir Selangor dulu, saya tidak pernah menaikkan gaji dan elaun Menteri Besar, EXCO dan ADUN. Kita perlu fikirkan rakyat terlebih dulu," katanya kepada BH, semalam.

Abu Hassan yang juga Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Selangor, berkata walaupun kerajaan negeri berhak berbuat demikian, kepentingan rakyat perlu diutamakan.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata kenaikan gaji pemimpin politik di Selangor adalah tidak wajar dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu.

"Yang menerima kesannya adalah pekerja bawahan dan rakyat, apatah lagi kos kehidupan di negeri Selangor tinggi berbanding negeri lain. Sewajarnya mereka mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan," katanya.

Jumlah tak munasabah

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin, berkata kenaikan melebihi 100 peratus tidak wajar meskipun kerajaan Selangor mempunyai banyak wang rizab.

Katanya, walaupun kenaikan gaji perlu, jumlah yang keterlaluan tidak munasabah.

"Gaji kakitangan kerajaan negeri juga patut dinaikkan 100 peratus. Saya yakin, kerajaan negeri mampu berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata keputusan kerajaan Selangor adalah tidak wajar ketika rakyat masih belum menikmati kehidupan sempurna di negeri itu.

"Mereka mendabik dada seolah-olah sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, walhal cukai pintu naik, pengangguran masih tinggi dan infrastruktur belum sempurna. Perkhidmatan kerajaan negeri juga tak capai KPI," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, pula berkata kebanyakan rakyat di Selangor menghadapi kesempitan hidup akibat ekonomi tidak menentu sedangkan pemimpin mereka mementingkan diri sendiri dengan menaikkan gaji serta elaun.

"Mereka juga tidak memberikan alasan atau justifikasi terhadap kenaikan serta tidak bertanya pendapat akar umbi," katanya.


Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan, berkata tiada kewajaran kenaikan gaji dan elaun sehingga melebihi 300 peratus daripada gaji asal.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...