Wednesday, November 6, 2013

958) HARIAN METRO 1/11/13-Boleh dipenjara hingga 10 tahun




Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Kesihatan menegaskan sebarang pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak terpakai yang diproses semula adalah tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983.

Itu kenyataan balas dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai reaksi kepada dakwaan dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mengesan lebih 90 peratus premis makanan di negara ini menggunakan minyak masak peket yang dikitar semula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana individu yang melanggar larangan berkenaan boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 13, akta berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, kementerian juga menjalankan beberapa siasatan mengenai dakwaan dibuat dan mendapati 149 premis pembungkusan minyak masak di negara ini tidak terbabit dalam kegiatan berkenaan.

"Kami memeriksa premis berkenaan dan tidak mempunyai sebarang bukti mengaitkan mereka terbabit dalam kegiatan pembungkusan minyak masak kitar semula berkenaan.

"Selain itu, pemeriksaan mengejut terhadap 305 premis makanan juga mendapati semua premis berkenaan menggunakan minyak masak yang mempunyai label," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Katanya, pihaknya juga mengalu-alukan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak kitar semula boleh berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan bagi tindakan selanjutnya.

Harian Metro semalam melaporkan dakwaan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan ada premis makanan di negara ini terbabit dalam kegiatan itu dan menyifatkan ia sebagai satu perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan pelanggan termasuk mengundang penyakit kanser.

Aktiviti tidak bertangggungjawab itu bukan saja memberi kesan kesihatan kepada pengguna sebaliknya memberi keuntungan lumayan terhadap pihak ketiga.


Nadzim berkata, pihaknya dimaklumkan ada pihak tertentu menggunakan lesen dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengutip minyak.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...