Monday, July 29, 2013

850) HARIAN METRO 26/7/13-Sebaran dakyah watak kartun


Kuala Lumpur: Karakter kartun Naruto yang saban hari ditayangkan di kaca televisyen tanpa disedari turut digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan dakyah tertentu yang boleh menggugat akidah umat Islam.

Berharga hanya RM9.90 senaskhah, buku itu mengandungi kisah perwira kanak-kanak yang menggunakan pedang berbentuk simbol agama, mampu mengundang kekeliruan terutamanya mereka di bawah umur sekali gus menjejaskan akidah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, buku berkenaan turut didatangkan bersama permainan lain termasuk pedang berkenaan yang disukai kanak-kanak kerana ia digunakan hero animasi terbabit.

Katanya, dalam aduan terbaru diterima, seorang ibu dan bapa di Kedah terperanjat apabila mendapati anaknya begitu asyik mengucup mainan berkenaan yang baru dibeli sebelum menyedari wujud persamaan antara objek itu dengan simbol agama lain.

"Selepas disemak, pengadu mendapati anaknya turut membeli buku yang dijual berasingan menunjukkan kekuasaan pedang terbabit sehinggakan begitu taasub untuk bermain pedang sama seperti watak kartun Naruto sehinggakan percaya ada kuasa tertentu padanya.

"Semakan kita di beberapa negeri mendapati, ia dijual secara terbuka di kedai dan pasar mini. Jika ini tidak diawasi, ia mungkin akan mempengaruhi minda kanak-kanak yang mungkin percaya ada kuasa lain selain Allah SWT," katanya kepada Harian Metro semalam.

Nadzim berkata, permainan berkenaan dijual pada harga RM3.50 setiap set dan ia disertakan dengan pedang 'kuasa' serta sebentuk cincin selain hujung pedang mempunyai bentuk seolah-olah 'ekor syaitan' seperti yang dipaparkan di dalam kartun dari barat.

Menurut Nadzim, siasatan awal PPIM turut mendapati, ia sudah berada di dalam pasaran sejak tahun lalu dan diminati kanak-kanak kerana rancangan kartun berkenaan turut mendapat tempat di hati penonton siaran televisyen tempatan.

"Justeru, kita berharap ibu bapa lebih berhati-hati dengan kewujudan permainan seperti ini kerana ia boleh mengundang pelbagai persepsi mengenai agama. Tambahan pula, dalam keadaan sekarang, Islam terus diasak dari pelbagai sudut dan kita tidak boleh alpa sama sekali.


"PPIM akan membawa perkara ini kepada pihak berkuasa dengan jabatan agama Islam di setiap negeri sudah pun dimaklumkan mengenainya," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...