Friday, July 19, 2013

840) MYNEWSHUB 18/7/13:PPIM Gesa Kes Disiasat Secara Telus





SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif dengan melantik peguam untuk berjumpa empat orang lelaki berbangsa Melayu yang ditahan polis berhubung kes Ng Mun Tat di sini hari ini.

Aktivis PPIM, Mohd Mustafa Hamzah berkata pihaknya bersama peguam hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam adalah untuk mendapatkan penjelasan berkenaan khabar angin oleh pelbagai pihak menerusi laman-laman sosial berkenaan kes tersebut.

“Apa yang dituntut PPIM adalah supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami menyediakan peguam bagi memastikan isu tersebut mendapat pengadilan sebaik mungkin,” jelas Mustafa kepada pemberita dalam satu sidang media di luar IPD Shah Alam sebentar tadi.

Menurut Mustafa, peguam yang dilantik PPIM, Shahrudin Ali telah berjumpa dengan empat yang ditahan dan pihaknya masih dalam proses mengumpul bahan bukti.

Dalam pada itu, peguam yang dilantik PPIM enggan memberi sebarang maklumbalas terhadap perjumpaan itu.

Tambah Mustafa lagi, dia yang berjumpa dengan Ketua Siasatan Jenayah IPD Shah Alam, DSP Mohd Nizam diberitahu bahawa tahanan reman terhadap empat lelaki itu yang sepatutnya berakhir pada 22 Julai akan dilanjutkan jika ada keperluan oleh pihak polis.

Dalam kejadian 3 pagi 15 Julai lalu, Ng Mun Tatt, 24, dipercayai telah dilarikan oleh lapan lelaki menaiki Toyota Alphard ketika dia sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran di Shah Alam.

Ng dicedera dan dibogelkan sebelum ditinggalkan di Kilometer 4.5 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), berhampiran susur keluar Setiawangsa di sini.

Beliau ditemui oleh seorang penunggang motosikal yang membawanya ke balai polis Jalan Tun Razak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan pantas polis berjaya menahan empat lelaki di Shah Alam dan Petaling Jaya pagi 16 Julai lalu kerana terbabit mencederakan lelaki itu.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...