Friday, July 19, 2013

838) UTUSAN MALAYSIA 18/7/13-Apakah lagi penghinaan bakal menanti umat Islam?



AHMAD MOHAMAD RADZI
Kubang Pas, Kedah..

YA Allah Ya Tuhanku! Apa lagi ancaman dan penghinaan yang akan diterima oleh umatMu di tanah air ini? Bukan niat untuk menghasut tetapi rasa terbuku yang membuak-buak. Kalaulah negara ini negara yang tiada undang-undang, mahu rasanya mengambil tindakan di tangan sendiri terhadap Alvin Tan dan Vivian Lee itu.

Saya membaca dan menghayati coretan Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail di Utusan Malaysia kelmarin. Saya rasa semua orang Melayu dan Islam menyokong penuh pandangan beliau itu. Sudah tiba masanya kita bertindak untuk mempertahankan agama Islam yang suci ini. Tidak rela lagi melihat agama ini terus dihina dan dipijak-pijak.

Kita mengharapkan pihak-pihak yang diberi tanggungjawab untuk membela agama kita bertindak. Laporan demi laporan hanya sia-sia belaka malah sudah menjadi bahan lawak jenaka. Retorik 'siasat' dan 'kita akan bertindak' sudah menjadi ungkapan. Tetapi selepas itu 'dibebaskan'. Kerajaan dilihat tidak berani berbuat apa-apa.

Saya adalah kelompok rakyat yang menyokong dan pendukung kerajaan yang memerintah. Saya adalah pekerja parti yang sentiasa bertungkus-lumus bekerja untuk memenangkan parti setiap kali pilihan raya dengan harapan parti inilah yang akan menjadi pelindung dan akan sentiasa mempertahankan agama dan bangsa saya. Namun saya berasa seolah-olah harapan itu tidak tercapai.

Mungkinkah sudah sampai masanya kita bertindak sendiri? Mahukah lagi 'kita beronggeng, sedangkan gendang perang sudah dipalu?' Nampaknya api perlu dilawan dengan api. Persatuan-persatuan dan NGO-NGO Islam perlu bangun sekarang untuk mempertahankan agama suci kita.

Ingatkah kita lagi kepada peristiwa 'kepala lembu' suatu ketika dulu? Sekali berlaku terus diambil tindakan. Kenapa bila kita yang dihina, boleh dibiarkan begitu sahaja? Lihat apa telah terjadi dengan kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong tidak lama dulu. Akhirnya senyap begitu sahaja.

Kerajaan jangan terlalu banyak bertolak ansur? Kenapa dibiarkan agama kita dipijak, dihina dan terus dihina? Bertindaklah segera sebelum nasi menjadi bubur!



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130718/fo_03/Apakah-lagi-penghinaan-bakal-menanti-umat-Islam?#ixzz2ZT7TCgAH © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL