Monday, July 1, 2013

801) MUKA DEPAN BERITA HARIAN 1/7/13-`Buka tudung, boleh kerja'



Byline / Author: Oleh Muhammad Mustakim Ramli; Siti Sofia Md Nasir

Kuala Lumpur: Sesetengah syarikat di ibu negara didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam apabila mensyaratkan mereka yang ingin bekerja membuka tudung dan memakai skirt.

Hak individu

Dasar ditetapkan syarikat itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara yang menetapkan bahawa setiap individu mempunyai hak menyatakan dan menjalankan agama masing-masing serta menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima aduan mengenai masalah itu setiap bulan dan lebih mengecewakan ada syarikat terus mengamalkan dasar berkenaan walaupun diberi teguran.

Beliau mendakwa sebuah rangkaian kedai foto cuba mengaburi pandangan orang ramai dengan membenarkan pekerja yang berurusan dengan pelanggan untuk berpakaian sopan dan memakai tudung, sebaliknya petugas di bahagian pentadbiran dipaksa membuka tudung.

"Kita menerima aduan daripada beberapa individu yang menghadiri temu duga di syarikat berkenaan. Jika mereka tidak mengadu, mungkin kita tidak mengetahui syarikat ini terus menindas pekerja Muslim di negara ini.

"Pengadu juga bagaikan tertipu dengan iklan jawatan kosong di luar premis yang ditawarkan pihak terbabit yang memaparkan pekerja wanita bertudung," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Terima aduan

Nadzim berkata, pihaknya turut menerima aduan sama membabitkan sebuah gedung beli-belah di sini serta kolej swasta di Petaling Jaya yang tidak membenarkan pekerja memakai tudung pada satu majlis kolej berkenaan.

"Tindakan ini bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang berteraskan kepentingan perpaduan tanpa mengira bangsa atau kepercayaan agama yang diusahakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.


Nadzim berkata, lebih dikesalkan ada wanita Islam yang terdesak untuk memperoleh pekerjaan terpaksa menggadai akidah dan pegangan apabila bersetuju dengan syarat sebegitu dengan menanggalkan tudung sewaktu bekerja dan memakainya semula selepas habis bekerja.



Headline: Pengalaman wartawan BH

Kuala Lumpur: Wartawan BH melakukan penyamaran sebagai pencari kerja di salah satu rangkaian kedai foto di ibu negara, baru-baru ini.

Wartawan yang memohon jawatan sebagai kerani mendapati semua kakitangan wanita beragama Islam di kedai foto itu memakai skirt dan tidak bertudung.

Kehadiran wartawan yang lengkap bertudung juga tidak disenangi kakitangan di situ apabila mereka terus memberi amaran mengenai 'dasar' syarikat itu ketika menyerahkan borang permohonan kerja.

Apabila ditemuduga oleh Pengarah Sumber Manusianya syarikat itu, wartawan cuba untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai 'dasar' namun beliau enggan melayan pertanyaan berkenaan.

"Jika mahu bekerja di sini, awak perlu membuka tudung dan memakai skirt. Itu dasar syarikat. Tiada kompromi," katanya.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kementerian berkaitan untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian isu berkenaan.

Wujud akta khusus

Beliau berkata, sudah tiba masanya undang-undang khusus diwujudkan untuk mengelakkan daripada ia terus berulang dan mencemarkan imej Islam.

"Undang-undang sedia ada hanya dilaksanakan kepada orang Islam tetapi tidak dikuatkuasakan kepada bukan Islam.

"Bertudung dan menutup aurat tidak akan mengurangkan produktiviti kerja. Justeru majikan tidak perlu takut dan menjadikannya sebagai alasan untuk menafikan hak mereka," katanya kepada BH.

Noh yang juga bekas Mufti Johor turut menasihati golongan terbabit dengan permasalahan itu agar mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai dan berkat.

INFO

AKTA 559

- Bahagian III - Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.

- Seksyen 7 - Menghina, atau menyebabkan dipandang hina.

- Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain:

- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

- (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau

- (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam.

- Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan dua tahun atau kedua-duanya.


Headline: Diarah buka tudung sebelum temu duga

Kuala Lumpur: Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nora berkata, beliau dihubungi oleh kakitangan sebuah kedai rangkaian foto di Gombak, di sini untuk ditemuduga selepas memohon jawatan sebagai kerani pada pertengahan Jun lalu.

Katanya, sebelum melangkah masuk ke bilik temu duga berkenaan, dia dimaklumkan oleh seorang pekerja di situ supaya tidak terkejut sekiranya diminta menanggalkan tudung untuk bekerja.

"Dia perasan saya pelik dengan kenyataan itu dan menjelaskan sekiranya dia tidak memaklumkannya kepada saya, dia akan dimarahi pengurus kerana tidak memberitahu perkara berkenaan terlebih dulu.

"Saya juga dimaklumkan oleh pekerja itu seorang wanita bertudung yang terpaksa membuka tudung ketika bekerja dan akan memakai semula selepas tamat waktu bekerja kerana desakan hidup untuk menyara keluarga," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Minta tanggal tudung

Nora berkata, walaupun kecewa dia teruskan sesi temu duga itu untuk memastikan kata-kata pekerja itu benar dan ketika ditemuduga ternyata dia diminta untuk menanggalkan tudung serta memakai skirt hari tertentu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa diskriminasi, mahu dikenali sebagai Aein ketika dihubungi BH, berkata dia menerima tawaran sebagai jurujual di salah satu gedung di Suria KLCC pada Februari lalu.

Kena ikut dasar

"Ketika ditemuduga kakitangan premis itu meminta saya membuka tudung atas alasan ia sebahagian dasar yang perlu dipatuhi pekerja.

"Saya tidak menunggu lama di situ dan menolak jawatan berkenaan yang jelas bertentangan dengan agama," katanya.



No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL