Sunday, July 14, 2013

824) BERITA BERNAMA, UTUSAN ONLINE, HARIAN METRO 13/7/13-Harga naik, pengguna diajak boikot ayam!




KUALA LUMPUR 12 Julai - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mengajak pengguna memboikot ayam buat sementara waktu, susulan kenaikan mendadak harga barang keperluan itu sejak dua minggu lepas.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu mampu mengatasi masalah kenaikan harga kerana pembekal terpaksa menurunkan semula harga jika tiada permintaan.

"Kita sudah mendengar masalah kenaikan harga ini berulang kali sejak beberapa tahun lalu... kali ini kita harap pengguna mengambil langkah bijak untuk mengatasi masalah yang sama dengan tidak membeli ayam dalam tempoh tiga hingga empat hari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu bertindak segera bagi membendung kenaikan harga ayam di pasaran yang sering berlaku ketika Ramadan dan kenaikan kali ini dijangka berlanjutan sehingga Aidifitri.

Kenaikan harga ayam yang meningkat secara mendadak melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram, menyebabkan pengguna bimbang terpaksa menanggung kos lebih tinggi pada masa akan datang.

Tinjauan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mendapati pasar raya masih menjual ayam pada harga yang berpatutan iaitu sekitar RM7.50 sekilogram.

Bagaimanapun harga ayam yang dijual di pasar tani jauh lebih tinggi iaitu antara RM8.50 dan RM9 sekilogram.

Seorang suri rumah, Siti Rohani Yaakob, 47 menyokong cadangan PPIM agar pengguna memboikot barangan yang harganya naik secara mendadak.

"Harga ayam kerap meningkat terutama di sekitar pasar-pasar tani apabila tiba musim perayaan. Saya harap kerajaan ambil tindakan serius dalam mengawal harga barangan bukan hanya pada musim perayaan tetapi secara berterusan untuk menjamin kebajikan rakyat," katanya.

Ibu kepada lapan anak, Rogayah Ahmad, 64, pula berkata, beliau menyedari peningkatan harga barang mentah terutama ayam pada setiap tahun, tetapi tetap membelinya bagi memenuhi keperluan keluarga.

"Saya terpaksa berbelanja lebih untuk membeli ayam kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai, jika harga terus meningkat ia akan memberi kesan kepada kami sekeluarga," katanya.

Pesara polis, Abdul Aziz Yusuf, 64 berkata, beliau mula menyedari harga barang naik sejak April lalu namun tidak menyangka harga barangan naik mendadak sehingga RM9 sekilogram pada bulan Ramadan ini.

Beliau berharap kerajaan dapat mengawal situasi itu dan memastikan harga kembali kepada asal dalam masa terdekat. - BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130712/dn_31/Harga-naik,-pengguna-diajak-boikot-ayam!#ixzz2Z0G09Pfr © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL