Saturday, July 13, 2013

822) UTUSAN MALAYSIA 12/7/13-Jangan beri layanan 'anak emas'



KUALA LUMPUR 11 Julai - Kerajaan tidak seharusnya melayan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) seperti anak emas memandangkan perkhidmatan yang diberi tidak memuaskan dan mengecewakan pelanggan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu berdasarkan pelbagai aduan dan rungutan orang ramai mengenai kualiti perkhidmatan sambil lewa syarikat penerbangan tersebut.

Malah, tambahnya, terdapat pelbagai isu berkaitan perkhidmatan syarikat itu yang belum diselesaikan termasuk tidak melaksana urusan dengan penuh etika, penerbangan sering ditunda dan isu status makanan halal yang dihidang.

"Syarikat penerbangan itu sepatutnya memberi layanan istimewa kepada pelanggan setimpal dengan keistimewaan yang diberi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

"Malangnya pengguna tidak menerima 'keistimewaan' itu seolah-olah AirAsia tidak dilayan seperti anak emas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi semalam, yang mengakui AirAsia seperti anak emas kerana menerima pelbagai layanan istimewa MAHB.

Menurut Ab. Aziz, MAHB terpaksa melayan semua permintaan AirAsia dalam pembinaan KLIA2 memandangkan syarikat penerbangan itu merupakan operator terbesar sehingga berlaku peningkatan kos tetapi masih munasabah.

Mengulas isu sama, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya menggesa kerajaan mengkaji semula keistimewaan yang diberi terhadap AirAsia supaya tidak menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan rakyat.

"Jika kerajaan terus memenuhi tuntutan AirAsia, syarikat itu juga seharusnya mengambil pendekatan sama iaitu memberi layanan terbaik kepada pelanggan," katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu menghentikan segala keistimewaan kepada AirAsia sekiranya kualiti perkhidmatan syarikat itu tidak dipertingkat dan terus dipersoal pelbagai pihak.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130712/dn_08/Jangan-beri--layanan-'anak-emas'#ixzz2YtyyGigM © Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment:

Unknown said...

dari segi kebersihan LCCT amat mengecewakan.berbau hancing mereka perlu belajar bagaimana penyelengraan KLIA. pernah satu ketika dlm pesawat Air Asia ada beberapa ekor lalat besar hijau ikut terbang sama dlm pesawat..adalah penting kebersihan dari semua sudut d utamakan.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...