Friday, July 12, 2013

819) ARTIKEL HARIAN METRO 10/7/13- `Melayu hebat'


Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Melayu bukanlah bangsa yang lemah, tidak mahir dan boleh dipandang hina. Sejarah membuktikan bangsa ini penakluk agung, ahli maritim yang handal dan cukup disegani.

"Tindakan pihak tertentu mengeluarkan buku mendakwa Melayu tidak pernah wujud tidak benar sama sekali dan fakta sebenar membuktikan sebaliknya. Orang Melayu perlu berbangga dengan kehebatan bangsa mereka," kata pengkaji sejarah Dr Zaharah Sulaiman.

Tampil dengan kajian mengenai kewujudan Melayu di rantau ini sejak hampir empat tahun lalu, beliau berkata, kegemilangan bangsa itu satu masa dulu turut diakui pencatat yang menemui bukti orang Melayu terkenal dengan sifat baik hati sehinggakan sering dipergunakan orang lain.

"Kajian saya turut menemui Melayu sebenarnya lebih awal wujud daripada tamadun India dan Cina dengan kawasan penempatan di Benua Sunda yang begitu baik dari segi iklim dan rupa bentuk muka bumi untuk didiami.

"Bukti yang ada cukup untuk mengatakan bangsa Melayu berasal daripada keturunan Semang dan Senoi yang kemudiannya membenihkan bangsa lain di dunia," katanya.

Fakta mengenai penemuan itu akan dapat diikuti tidak lama lagi selepas kajiannya dibukukan hasil penyelidikan bersama beberapa universiti selain sejarawan negara.

Ia akan merungkai kenyataan sesetengah pihak termasuk mendakwa orang Melayu jahat, perompak dan pemalas seperti didakwa menerusi buku `Contesting Malayness' terbitan sebuah universiti di Singapura yang jelas berat sebelah tanpa bukti kukuh.

Dr Zaharah berkata, kajiannya selama ini berdasarkan penemuan artifak serta DNA (asid dioksiribonukleik) daripada 160,000 tahun lampau sehingga ke hari ini dan ia akan menemui orang ramai tidak lama lagi.

"Saya sudah jelaskan penemuan ini di dalam siri jelajah secara tertutup dengan disertai kumpulan kecil. Mudah-mudahan ia memberi satu dimensi baru kepada orang Melayu," katanya.


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL