Monday, July 15, 2013

831) UTUSAN MALAYSIA 15/7/13 Harga: Pemantauan menyeluruh diperlukan



KOTA BHARU 14 Julai - Pihak berkuasa di negeri ini diminta membuat pemantauan secara menyeluruh bagi mengatasi krisis kenaikan harga barangan keperluan termasuk bahan mentah terutama di kawasan luar bandar.

Permintaan itu dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan bagi mengelak pengguna terpaksa menanggung beban kenaikan kos yang semakin tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua aktivis PPIM Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada pengguna mengenai kenaikan secara mendadak barangan keperluan seperti daging, ayam dan bahan mentah lain.

Beliau berkata, peniaga termasuk pembekal, pemborong dan peruncit sepatutnya mematuhi piawaian harga yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, bukannya menaikkan harga barangan keperluan dengan sesuka hati.

"Kita difahamkan harga daging meningkat daripada RM22 kepada RM24 sekilogram, begitu juga dengan harga ayam yang turut meningkat.

"Pihak berkuasa wajar mengoptimumkan tindakan serta hukuman berdasarkan undang-undang yang ada bagi memastikan golongan terbabit lebih berhemah ketika menjalankan aktiviti perniagaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas krisis kenaikan harga barangan keperluan terutama ayam di negeri ini sehingga meresahkan pengguna.

Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, selain daging dan ayam, PPIM Kelantan turut menerima rungutan pengguna tentang kenaikan harga bekalan bahan mentah lain seperti sayur-sayuran di pasaran.

Sebagai contoh katanya, perbezaan harga timun dan cili merah mencecah antara RM2 hingga RM3 sekilogram berbanding harga sebelum ini.

"Kenaikan secara mendadak ini jelas menunjukkan golongan berkenaan cuba mencuri kesempatan dan membebankan pengguna," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130715/wt_02/Harga:-Pemantauan-menyeluruh-diperlukan#ixzz2Z71WkQqq © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...