Monday, July 29, 2013

852) UTUSAN MALAYSIA 270713-Hotel Corus nafi larang pekerja pakai tudung



KUALA LUMPUR 26 Julai - Pihak pengurusan Hotel Corus Kuala Lumpur menafikan dakwaan kononnya mereka melarang pekerja wanita Islam memakai tudung di tempat kerja.

Naib Presidennya, Raymond Yeoh berkata, hakikatnya ramai pekerja wanita di hotel itu yang memakai tudung semasa bekerja.

"Kami ingin menegaskan bahawa kami sentiasa diingatkan supaya sentiasa menghormati sensitiviti semua agama di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kekesalan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menerima banyak aduan mengenai larangan memakai tudung oleh pengurusan Hotel Corus Kuala Lumpur terhadap pekerja wanita beragama Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan turut mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menarik balik sijil halal hotel tersebut kerana mendapati mereka mendapatkan bekalan daripada pembekal yang tidak mempunyai sijil halal.

Mengulas mengenai penarikan sijil halal itu, Raymond menjelaskan, pihaknya mempunyai sijil halal yang sah sehingga 15 Mei 2014 yang dikeluarkan oleh Jakim.

Bagaimanapun, katanya, sijil halal itu dibatalkan kerana salah satu daripada pembekal yang membekalkan daging ayam kepada hotel tersebut hanya mempunyai sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan bukannya daripada Jakim.

"Pihak kami telah mengambil langkah serta-merta untuk memperbaiki keadaan dengan bertukar kepada pembekal bekalan daging ayam yang baharu.

"Tambahan pula, hotel ini telah menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh Jakim pada bulan lalu dan sedang menunggu sijil halal yang baharu daripada Jakim," katanya.


Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130727/dn_18/Hotel-Corus-nafi-larang-pekerja--pakai-tudung#ixzz2aQf6Tuj8 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...