Monday, July 29, 2013

848) BERITA HARIAN 24/7/13-Pesakit hospital swasta dakwa tidak diberi makan sahur


Kuala Lumpur: Seorang pesakit di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor, mendakwa tidak dibekalkan makanan untuk bersahur sepanjang seminggu menerima rawatan di hospital berkenaan pada Ramadan ini.

Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, dia sudah meminta pihak pengurusan hospital menukar waktu penghantaran makanan untuknya pada waktu siang kepada waktu sahur, namun tidak dilayan.

Caj makan sama

Katanya, biarpun pihak hospital mengesahkan beliau boleh berpuasa, masa penghantaran makanan tetap dikekalkan pada waktu siang dan sekiranya ditolak, caj untuk makanan tetap sama.

"Hanya isteri yang menjaga saya dalam wad dan beliau tidak pandai memandu kereta untuk membeli makanan di restoran berhampiran," katanya kepada BH, semalam.

Pesakit yang enggan namanya didedahkan mendakwa, sepanjang seminggu menerima rawatan di hospital berkenaan, beliau dan isteri hanya bersahur dengan memakan roti untuk mengalas perut.

Katanya, beberapa pesakit turut menyuarakan kepadanya mengenai kesulitan mereka berpuasa sepanjang berada di wad kerana hanya menjamah makanan yang boleh bertahan dalam jangka masa singkat.

"Mungkin ia dasar hospital berkenaan, namun apalah salahnya pihak pengurusan menghormati orang Islam yang mahu menunaikan ibadah puasa sepanjang menerima rawatan," katanya.

Hormati pesakit Islam

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihak hospital sepatutnya menghormati pesakit Islam yang mahu berpuasa.

Katanya, ini disebabkan tidak semua penyakit menghalang pesakitnya berpuasa seperti patah kaki, selain ada penyakit yang memerlukan penghidapnya menunaikan puasa.


"Kami harap pihak hospital tidak menghalang pesakit yang menerima rawatan dalam wad daripada menunaikan ibadah puasa. Mereka perlu menukar waktu penghantaran makanan bagi membolehkan pesakit Islam berbuka puasa dan sahur," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL