Wednesday, July 10, 2013

812) UTUSAN MALAYSIA 8/7/13-Peniaga runcit terancam

 
Sebahagian ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) berkumpul sebagai membantah kewujudan pasar mini yang dimiliki pasar raya besar di Seksyen 16 Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi


SHAH ALAM 7 Julai - Seramai 150 ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) mengadakan demonstrasi di dua lokasi berasingan di sini hari ini bagi membantah pembukaan rangkaian pasar mini milik pasar raya besar terutama di kawasan perumahan.

Penasihat Mawar, Basir Ahmad berkata, demonstrasi itu diadakan susulan memorandum yang dihantar pihaknya kepada kementerian berkaitan sebelum ini mengenai perkara tersebut namun belum ada sebarang tindakan memandangkan pasar mini terbabit masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Menurutnya, tindakan pembukaan pasar mini milik pasar raya besar itu dilihat akan mengancam para peniaga kedai runcit tradisional yang telah membuka perniagaan sebelum mereka.

"Kami tidak menentang kewujudan pasar raya besar tetapi apabila dibina dengan konsep seperti kedai runcit di kawasan perumahan, ia telah menjejaskan punca pendapatan kira-kira 50,000 ahli Mawar di seluruh negara.

"Kita akui kedai runcit bukan pesaing kepada pasar raya tersebut, sekiranya kerajaan membiarkan perkara ini berleluasa, bukan sahaja boleh menutup periuk nasi kami tetapi juga akan menyebabkan monopoli perniagaan berlaku," katanya kepada pemberita di Seksyen 16 di sini hari ini selepas mengadakan bantahan di sebuah lagi pasar mini di Seksyen 7 di sini.

Yang turut hadir memberikan sokongan berhubung perkara tersebut ialah wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, aktivis PPIM, Muhammad Zharif Johor berkata, pihaknya melihat persaingan yang berlaku di antara pasar mini yang dimiliki oleh pasar raya besar itu sebagai satu tindakan halus yang boleh mengakibatkan peruncit gulung tikar.

"Kerajaan seharusnya memberi peruncit ini peluang untuk memajukan perniagaan mereka terutama dengan adanya program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Kerajaan seharusnya prihatin dengan nasib pekedai runcit tradisional seperti ini. PPIM khuatir peniaga runcit yang ingin mengikuti program Tukar tidak sempat berbuat demikian berikutan perniagaan yang dirancang telah muflis terlebih dahulu," katanya.

Pada masa yang sama, Muhammad Zharif memberitahu, pihaknya turut bimbang kewujudan pasar mini itu nanti akan mendedahkan orang Islam kepada penjualan minuman keras terutama di kawasan perumahan yang dihuni penduduk majoriti Melayu.

"Pada masa ini hanya kedai serbaneka 7-Eleven yang menjual arak dan kita bimbang penjualan arak akan berleluasa apabila turut dijual di pasar-pasar mini ini," ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130708/wk_01/Peniaga-runcit-terancam#ixzz2YdBy9Hza

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...