Monday, July 29, 2013

849) HARIAN METRO 260713- Bersatu hati beri sokongan, bukan tekanan



Kuala Lumpur: "Sepatutnya kita perlu menjadi tulang belakang menyokong dia (guru besar) ketika dalam keadaan ditekan pelbagai pihak. Ini tidak, sampai ke tahap terima ugutan bunuh pun masih ada orang Islam menuding jari menyalahkannya.

"Inilah masanya kita perlu bersatu hati, menyatakan pendirian kita dalam isu berkaitan agama. Yang penting ialah tindakan kepada penyebar fitnah ini yang sengaja mencetuskan isu tanpa mendapatkan gambaran jelas terlebih dulu," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penyebaran fitnah di laman sosial mengenai murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, dekat sini yang diarah makan di bilik persalinan menggantikan kantin.

"Saya berasa sedih apabila difahamkan, beliau berkemungkinan akan ditukarkan kerana kes itu. Walau apapun, guru besar berkenaan cikgu Mohamad Nasir Mohd Noor, kami sentiasa di belakang anda," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dalam Gabungan NGO Islam, pihaknya menggesa agar tindakan sewajarnya diambil tanpa mengenakan hukuman kepada guru besar terbabit yang menjadi 'mangsa' dalam kes itu.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini, sentimen membabitkan agama menjadi begitu serius apabila menjadikan golongan tertentu sebagai sasaran, dengan sebelah pihak lagi dibiarkan memberi pandangan walaupun tidak menggambarkan keseluruhan situasi.

"Ini kita bimbang. Jika dibiarkan berterusan, akan mencetus keadaan huru hara kerana semakin ramai yang tidak berpuas hati, sedangkan kejadian makan di bilik persalinan bukan berlaku pada bulan puasa ini, tetapi sejak Mac lalu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali ketika dihubungi berkata, insiden murid SK Seri Pristana tidak harus dijadikan isu.

Malah, sesetengah pihak juga dilihat sengaja menimbulkan isu berkenaan pada bulan puasa sekali gus menimbulkan pandangan negatif dan menghina Islam.


Ketika diminta mengulas mengenai guru besar sekolah berkenaan yang menerima ugutan bunuh, Ibrahim berkata polis perlu memberi perlindungan dan yakin pihak terbabit akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...