Wednesday, July 10, 2013

805) BERITA UTUSAN MALAYSIA 4/7/13:Wujudkan mekanisme kawal harga rumah




KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan perlu segera mewujudkan mekanisme khusus bagi mengawal harga rumah di pasaran ketika ini yang melambung tinggi sehingga menyebabkan rakyat terutamanya yang berpendapat rendah dan sederhana gagal memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, mekanisme itu harus mengambil kira semua aspek supaya tidak terus membebankan rakyat serta merugikan pemaju perumahan.

Kita tidak boleh salahkan pemaju kerana dalam isu meletakkan harga rumah di pasaran, mereka mengambil kira segala kos dan faktor seperti tanah, lokasi dan permintaan yang semakin meningkat.

Jadi saya harap kerajaan dapat wujudkan satu mekanisme bagi mengawal harga rumah ini kepada tahap yang munasabah kerana semua pihak berhak untuk memiliki rumah sendiri," katanya ketika dihubungi di sini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebanyak 1.9 juta isi rumah di negara ini masih belum memiliki rumah sendiri berikutan harga yang terlampau tinggi.

Menurutnya, daripada 6.3 juta jumlah isi rumah di seluruh negara, sebanyak 4.4 juta keluarga telah memiliki rumah sendiri, 1.6 juta masih menyewa serta baki 300,000 mendiami rumah setinggan dan menumpang rumah pusaka.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Perak, Shamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, harga bahan mentah dan tanah yang semakin meningkat menjadi punca utama mengapa harga rumah semakin mahal.

Katanya, bagi mengelakkan perkara tersebut berlarutan, kerajaan wajar bekerjasama dengan pemaju perumahan dalam membina lebih banyak rumah pada harga yang berpatutan.

Usahasama kerajaan dan swasta dilihat mampu mengatasi masalah yang berlaku kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Kerajaan boleh mengeluarkan subsidi dan pemaju pula menggunakan kepakaran serta modal untuk hasilkan rumah yang sepadan dengan purata gaji rakyat Malaysia," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130704/dn_20/Wujudkan-mekanisme-kawal-harga-rumah#ixzz2YcJhCbSK

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL